England: Sejarah mungkin berulang - Fanatik Bola 2018 | mStar

England: Sejarah mungkin berulang

Diterbitkan: Rabu, 11 Julai 2018 6:56 PM

(Ubah saiz teks)

TINGGAL beberapa jam saja lagi, England akan harungi misi hidup mati, aksi separuh akhir bola sepak Piala Dunia menentang Croatia di Stadium Luzhniki, Moscow gelanggang sama untuk aksi final pada Ahad ini.

Menanti pemenang antara England dan Croatia ini ialah Perancis yang lebih awal menempah tiket selepas menewaskan Belgium 1-0 awal pagi Rabu.Viva Les Bleus!!

Sebelum berlangsung perlawanan jam dua pagi esok (Khamis), elok juga penyokong Croatia melihat fakta di bawah yang disediakan oleh ESPN:

1966

1 Real Madrid juara Eropah

2 Manchester City juara Liga Inggeris (Bahagian Dua)

3 Chelsea tempat kelima (Bahagian Satu)

4 Burnley layak aksi Eropah 5 England juara Piala Dunia

Pasukan Croatia menjalani latihan terakhir.

2018

1 Real Madrid juara Eropah

2 Manchester City juara Liga Perdana Inggeris 

3 Chelsea tempat kelima Liga Perdana Inggeris

4 Burnley layak aksi Eropah (Liga Europa)

5 England juara Piala Dunia?

Tidak mustahil England akan melengkapkan carta itu selepas 52 tahun. Sejarah sering berulang walaupun cara berbeza.

Sepanjang lima dekad lalu, penyokong England seluruh dunia termasuk di Malaysia sering tertipu dengan ‘impian palsu’.

Tetapi ia tidak pernah mematah semangat mereka untuk terus meletakkan harapan apalagi kali ini ‘Three Lions’ hanya selangkah saja untuk menulis semula sejarah bolasepak Inggeris.

Ketika muncul juara dunia kali pertama dan terakhir itu, England tidak diwakili seorang pun pemain Manchester City sebaliknya tiga tonggak Manchester United, Nobby Stiles, Bobby Charlton dan John Connely antara wira yang menggegar Stadium Wembley.

Dibantu tiga pemain West Ham United – kapten, Bobby Moore, Geoff Hurst dan Martin Peters serta trio Liverpool, Gerry Byrne, Ian Callaghan dan Roger Hunt, England menewaskan Jerman Barat 4-2.

Hurst meledak tiga gol dan satu daripada Peters untuk melengkap malam gemilang sekalipun diselubungi kontroversi gol kedua Hurst yang dipertaikai hingga kini.

Ketika itu belum wujud VAR (Video Assistant Referee) untuk dinilai semula ketika perlawanan berlangsung.

Hari ini sudah berbeza. Dan ketika England mara separuh akhir tahun berkenaan belum wujud lagi iPhone, Facebook, Google, Android, Twitter, Instagram, Yahoo, YouTube, Emojis, iPad dan Croatia seperti mana sekarang.

Pasukan England menjalani latihan terakhir sebelum bertemu Croatia.

Apa pun kedua-dua pengurus, Gareth Southgate (England) dan Zlatko Dalić (Croatia) punya satu persamaan dengan rakyat Malaysia tidak menyangka pasukan bimbingan mereka boleh mara sejauh ini.

Dibarisi kelibat empat pemain Manchester City, Kyle Walker, John Stones, Fabian Delph dan Raheem Sterling serta lima pemain Tottenham Hotspur, Kieran Trippier, Danny Rose, Eric Dier, Dele Alli dan kaptan, Harry Kane menjadikan ‘Tiga Singa’ paling garang dan kuat ngaumannya sejak 1966.

Dengan enam gol setakat ini, Kane berada dilandasan untuk muncul pemain England pertama meraih ‘kasut emas’ sejak 1986.

Pemain tinggi lampai ini punya alasan kukuh untuk berasa yakin menambah koleksi jaringan.

Mewakili Spurs, Kane punya rekod cemerlang ketika berdepan pertahanan tengah Croatia, Dejan Lovren yang mewakili Liverpool.

Pada Oktober 2017, Spurs menewaskan The Kops 4-1 menyaksikan Kane meledak dua gol dan ‘menyeksa’ Lovren hingga memaksa jurulatih, Jurgen Klopp mengeluarkannya.

Di Russia, aksi Lovren lebih kemas.Hanya empat gol melepasi pertahanan Croatia dalam enam perlawanan.

Amat menarik untuk menyaksikan pertembungan dua pemain Liga Perdana Inggeris ini. Jadi siapa akan menemani Perancis pada Ahad ini? 

Saya masih menaruh harapan ia bukan mimpi ngeri buat England walaupun tetap resah ketangkasan Croatia dengan taktikal pelbagai yang menghadirkan penyerang Real Madrid, Luca Modric.

Tags / Kata Kunci: England , Croatia , Piala Dunia 2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan