Mo Salah lahir di negeri yang salah... - Fanatik Bola 2018 | mStar

Mo Salah lahir di negeri yang salah...

Diterbitkan: Selasa, 26 Jun 2018 6:51 PM

(Ubah saiz teks)

KOMENTAR

MOHAMED Salah lahir di negara yang ‘salah’.

Kalau dia anak kelahiran elit bola sepak dunia seperti Brazil, Jerman atau Argentina hari ini dia mungkin ‘mega star’ setaraf legenda Pele, Gerd Muller atau Diego Armando Maradona.

Sama seperti P Ramlee, jika ditakdirkan lahir di Hollywood bukan Acheh, tentunya dia bukan ‘seniman agung’ dari Jalan Ampas atau Studio Merdeka tapi dia sehebat atau lebih gah daripada Marlon Brando, John Wayne atau Charlie Chaplin yang menggegar Universal Studio.

Anda boleh bayangkan Mo Salah kelahiran Mesir ini, bergandingan dengan Neymar di barisan depan skuad Brazil, bersama Thomas Muller (Jerman) atau penyerang kembar kepada Messi (Argentina).

Tapi dia ditakdirkan lahir di bumi Firaun. Ini hanya gurauan, tiada siapa boleh melawan takdir bumi mana kita lahir dan bumi mana kita akan mati atau harus juga hilang di lautan sepi tetapi naratifnya memang begitu.

Pada usia 26 tahun, Mo Salah - nama yang diberi media Britain sejak dia mewakili Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris - seharusnya sedang menikmati era kegemilangan bukan saja di peringkat kelab tetapi juga untuk negaranya.

Malang sekali, ketika namanya memuncak bersama The Reds, menjaringkan lebih 40 gol dan membawa kelab dari Anfield itu mara ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Salah terpaksa menerima takdirnya walaupun dia tidak salah.

Mesir tewas semua tiga aksi peringkat Kumpulan A kepada Uruguay 0-1, Russia 1-3 dan lebih memeritkan kecundang kepada Arab Saudi saingan terakhir, 1-2 yang menyaksikan negara Afrika Utara ini terpaksa balik awal.

Sebelum datang ke Russia, kecergasan Mo Salah diragui kerana hanya menjalani latihan ringan selepas mengalami kecederaan bahu angkara ditarik oleh kaptan Real Madrid, Sergio Ramos dalam aksi final Liga Juara-Juara akhir Mei lalu. Dia tidak diturunkan aksi pertama menentang Uruguay, dibimbangi kecederaan akan berulang kerana corak permainan lawan agak kasar dan lasak.

Bagaimanapun aksi dua perlawanan berikutnya, Salah diturunkan. Walaupun tewas, dia menjaringkan satu gol ketika berdepan tuan rumah dan meletakkan Mesir di hadapan sebelum kalah kepada Arab Saudi.

Demikian hebatnya Salah. Namanya mungkin antara yang akan tersenarai buat kali pertama untuk bersaing dengan Cristiano Ronaldo dari Portugal dan Messi untuk bersaing merebut Anugerah Ballon d’Or – Pemain Terbaik Dunia, tahun ini.

Bagaimanapun sebelum datang ke Rusia, nama Salah terbabit dalam kontroversi – juga bukan kerana kesalahannya.

Semuanya gara-gara dia diberi status ‘warganegara kehormat’ oleh pemimpin utama Chechnya, Ramzan Kadyrov ketika Mesir menjalani latihan pemanas badan di negeri berkenaan.

Salah (kanan) bersama Kodyrov selepas sesi latihan di Grozny 10 Jun lalu.

Gambar Kadyrov memasang pin di baju Salah menimbul kemarahan dan dia dikecam hebat oleh pejuang LGBT kerana Kadyrov adalah penentang keras golongan gay.

Gara-gara serangan bertali arus itu, Salah mula berfikir untuk bersara daripada mewakili negara dan hanya tumpu kepada aksi peringkat kelab.

Banyak kelab liga utama dunia – Itali, Jerman, Sepanyol dan Belanda mula intai peluang untuk merampasnya di tangan Liverpool. Real Madrid antara pasukan yang mula memberi perhatian selepas Ronaldo membayangkan dia akan mencari kelab baru musim depan dan Barcelona juga menaruh minat untuk meringan beban Messi yang sudah berusia 31 tahun, pada Ahad lalu.

Tapi Salah mempunyai kontrak hingga penghujung musim 2021-22 bersama Liverpool.

Dengan gaji yang akan digandakan kepada RM1.1 juta seminggu, musim depan, tentu sukar untuk menebus kontrak bagi mana-mana pasukan berbajet kecil berbanding Real dan Barca.

Tampak kelibat Salah kekal di Anfield dan Mesir kemungkinan besar akan kehilangan pemain sayap kanan dengan ketinggian 1.75 meter ini.

Tags / Kata Kunci: Piala Dunia 2018 , Salah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan