Gol Mbappe bantu Perancis mara - Fanatik Bola 2018 | mStar

Gol Mbappe bantu Perancis mara

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2018 7:23 AM

(Ubah saiz teks)

GOL pertama Kylian Mbappe pada aksi Piala Dunia sudah cukup membantu Perancis mara ke peringkat kalah mati sekali gus menyingkirkan Peru daripada temasya empat tahun sekali itu.

Perancis bermula agak perlahan semasa bertemu Peru, sebuah pasukan yang dianggap bakal memberi cabaran sengit dalam Kumpulan C.

Peru nyaris mendahului tetapi rembatan Paolo Guerrero berjaya ditampan penjaga gol Hugo Lloris yang melakukan penampilan ke-100nya bersama Perancis.

Namun Mbappe meletakkan Perancis di depan selepas menjaringkan gol pada minit ke-34.

Pemain tengah Peru Pedro Aquino nyaris menyamakan kedudukan tetapi rembatannya terkena palang.

Kehebatan Hugo Lloris sekali lagi diuji Andre Carrillo tetapi rembatannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Perancis itu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Ia agak sukar pada babak kedua. Kami beraksi dengan baik pada babak pertama. Namun benteng pertahanan kami tetap kebal sehingga tidak membenarkan Peru membolosi gawang.

"Kami mara ke peringkat kalah mati, saya amat berpuas hati," katanya.

Sementara itu, jurulatih Peru Pedro Gallese memohon maaf kepada penyokong Peru kerana gagal mengemudi pasukan itu mara ke kelompok 16 pasukan terbaik.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana memberikan sokongan terbaik di Rusia.

"Kami meninggalkan segalanya di padang menentang dua pasukan kuat. Namun ia tidak akan terhenti di sini, kami akan menamatkan saingan ini dengan sikap yang sama," katanya.

 

Tags / Kata Kunci: Piala Dunia 2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan