Tuah tidak memihak 'El Pescao' - F1 dan Motor | mStar

Tuah tidak memihak 'El Pescao'

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2018 8:27 PM

Hafizh Syahrin Abdullah. Foto AP

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Tuah ternyata tidak menyebelahi pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila trek basah di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjejaskan tunggangannya pada sesi kelayakan di sini, Sabtu.

Pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu yang sebelum ini mengharapkan cuaca baik dan permukaan litar kering sekadar mencatat kepantasan dua minit 16.825 saat (s) untuk memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-23, Ahad.

Hafizh yang diberi jolokan ‘El Pescao' mengakui sedikit kecewa dengan keadaan itu terutamanya selepas beliau berjaya mengatasi masalah jenteranya semalam untuk memperbaiki catatan masa pada sesi latihan bebas terakhir pada Sabtu.

“Keadaan jentera saya hari ini lebih baik daripada semalam dan daripada FP3 saya yakin boleh buat lebih baik pada sesi kelayakan tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Saya tidak risau dengan pencapaian saya hari ini sebab ini kali pertama saya bersama jentera MotoGP dalam keadaan hujan. Hari ini saya terus pergi ke sesi kelayakan tanpa sebarang pengalaman berlumba dalam hujan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, beliau yang kelihatan sugul selepas sesi kelayakan itu tetap positif mampu menampilkan persembahan terbaik bagi memburu kedudukan 10 terbaik atau sekurang-kurangnya mengutip mata pada perlumbaan, Ahad.

Katanya, beliau akan berusaha keras untuk tidak menghampakan harapan peminat tempatan yang hadir memberikan sokongan selain menyaksikan beliau menampilkan saingan sengit kepada barisan pelumba handalan dunia.

“Agak sukar bagi saya untuk dapatkan kedudukan 10 terbaik seperti diinginkan tetapi saya akan cuba mengutip mata kerana kalau boleh saya tidak mahu semua peminat kecewa. Kalau dapat berada dalam kelompok 10 terbaik satu bonus untuk saya,” katanya.

Juara dunia MotoGP 2018, Marc Marquez daripada Repsol Honda Team akan memulakan perlumbaan di petak utama selepas mencatat 2:12.161s sementara rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco di tempat kedua manakala kedudukan ketiga menjadi milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari Movistar Yamaha MotoGP Team. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Hafizh Syahrin Abdullah , MotoGP
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan