SIC bantu cari pelumba gantian Moto2 perlumbaan di Sepang - F1 dan Motor | mStar

SIC bantu cari pelumba gantian Moto2 perlumbaan di Sepang

Diterbitkan: Sabtu, 27 Oktober 2018 3:03 PM

Razlan (dua,kiri) ketika Sesi Taklimat SIC bersama Sukarelawan Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix di SIC pada Sabtu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam usaha memberi bantuan mencari pelumba gantian bagi mengganti pelumba Moto2 Tech 3 Racing untuk bersaing pada perlumbaan Shell Malaysia Moto Grand Prix (GP) 2018.

Ketua eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ketika ditemui Bernama berkata pelumba gantian tersebut akan dipilih berdasarkan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) mengikut kategori yang sesuai.

“Kami akan cari pelumba Malaysia yang berada di kedudukan tertinggi pada perlumbaan ARRC dalam kategori Supersports 600 kerana kategori tersebut adalah paling hampir dan bersesuaian dengan perlumbaan kategori Moto2 nanti.

“Saya ada berhubung dengan pelumba ARRC, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zaqhwan Zaidi namun mereka terikat dengan komitmen masing-masing, jadi kami akan pilih yang terbaik selepas mereka berdasarkan kedudukan terkini ARRC,” katanya pada sesi Taklimat SIC bersama sukarelawan sempena MotoGP yang akan diadakan pada 2-4 November ini.

Selain dua pelumba itu, antara pelumba Malaysia yang berpotensi untuk menjadi pelumba gantian pasukan Tech 3 ialah mereka yang berada kedudukan tertinggi sepanjang perlumbaan ARRC musim ini iaitu Azroy Hakeem Anuar, Kasma Daniel Kasmayudi dan Md Ramdan Rosli.

Katanya, keputusan pemilihan pelumba gantian itu akan diketahui dalam masa terdekat iaitu sekurang-kurangnya pada Isnin ini.

Dalam pada itu, Razlan berkata lebih kurang 500 orang sukarelawan turut serta dalam sesi taklimat  di SIC, berkenaan penganjuran MotoGP dari aspek keselamatan dan keseluruhan perjalanan penganjuran.

“Jumlah keseluruhan sukarelawan adalah lebih kurang 1,000 orang termasuk dalam bidang perubatan, keselamatan, perkhidmatan pelanggan dan marshall.

“Ini merupakan kali pertama kami buat sesi orientasi secara besar-besaran bagi memberi pendedahan kepada mereka termasuk menghargai pembabitan mereka sebagai sukarelawan,” katanya.

Razlan juga turut berkata SIC yakin mampu memperoleh lebih 100,000 pungutan penjualan tiket hari perlumbaan (Ahad) nanti.- Bernama

Tags / Kata Kunci: SIC , Datuk Razlan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan