Kemenangan di Fuji Speedway bakar semangat trio pelumba WEC negara - F1 dan Motor | mStar

Kemenangan di Fuji Speedway bakar semangat trio pelumba WEC negara

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2018 9:26 PM

Razlan (dua, kiri) beramah mesra dengan trio pelumba kereta Jazeman, Nabil Jeffri dan Weiron Tan yang berjaya memenangi perlumbaan World Endurance di Jepun baru-baru ini sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kejayaan meraih kemenangan pertama dalam siri Kejuaraan Enduran Dunia di litar Fuji Speedway, membakar semangat trio pelumba negara -- Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan -- untuk terus mencipta kejayaan dalam baki empat lagi perlumbaan.

"Sesungguhnya kami berasa sangat bangga kerana berjaya mencipta sejarah buat Malaysia sebagai pasukan yang terdiri daripada semua pelumba Malaysia yang menang WEC di Speedway Fuji. Kami bekerja keras untuk mencapai impian ini.

"Melalui kejayaan ini, kami akan berusaha lagi untuk memenangi lagi kejuaraan pusingan akan datang ataupun menamatkan musim ini dalam kelompok tiga pasukan terbaik," kata Jazeman, ketika ditemui pemberita sejurus tiba dari Tokyo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu.

"Kami akan meneruskan momentum. Kami akan mengkaji cara memperbaiki kelemahan yang ada walaupun kami memenangi pusingan kali ini. Kami perlu lebih bersedia untuk terus memberikan saingan kepada pasukan-pasukan yang lain," tambahnya.

Mereka yang mewakili pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota kali pertama menaiki podium dalam siri perlumbaan yang berlangsung di Litar Silverstone, United Kingdom pada Ogos lepas.

Selepas mengharungi empat siri perlumbaan, gandingan ketiga-tiga pelumba yang diletakkan dalam Program Pembangunan Bakat Permotoran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 86 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu iaitu pasukan Signatech Alpine Matmut dari Perancis dalam kelas LMP2 (Le Mans Prototype 2).

Dalam kedudukan pelumba pula, ketiga-tiga mereka kini berada di kedudukan kelima, masing-masing mengumpul 34 mata.

Sementara itu Nabil pula berkata, kejayaan yang dikecapi mereka itu adalah hasil daripada usaha keras mereka dan kerja sepasukan yang telah dimulakan sejak Mac lepas.

"Kami begitu serasi sekali. Kami memulakan perlumbaan ini (WEC) di tempat keempat dan perlahan-lahan kami tingkatkan pencapaian daripada satu perlumbaan kepada perlumbaan yang lain. Untuk perlumbaan akan datang, mungkin kami akan menggunakan pendekatan yang sama," ujarnya.

Weiron turut berkongsi pandangan yang sama, di mana katanya kerjasama dari sejak awal nama mereka diletakkan untuk Program Pembangunan Bakat Permotoran SIC, mereka telah sama-sama bekerja keras untuk memberikan saingan terbaik.

Terdapat empat lagi pusingan bagi musim ini yang mana China ditetapkan menjadi tuan rumah bagi pusingan seterusnya dengan perlumbaan Enam Jam Shanghai pada 18 November.

"Bagi SIC, inilah pencapaian yang diperoleh hasil daripada penjimatan perbelanjaan untuk penganjuran perlumbaan F1 (Formula Satu) yang kita gunakan untuk program pembangunan empat roda dan dua roda.

"Saya bersyukur pelumba-pelumba kita telah berjaya melakukan yang terbaik dan menunjukkan peningkatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

Menurut Razlan, ketiga-tiga pelumba itu berjaya membuktikan mereka juga mampu memberi saingan terbaik dan berjaya mengatasi pasukan-pasukan yang kebanyakannya disertai bekas pelumba F1.- Bernama

Tags / Kata Kunci: WEC , Fuji Speedway
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan