ARRC: Azlan, Helmi juara di Suzuka - F1 dan Motor | mStar

ARRC: Azlan, Helmi juara di Suzuka

Diterbitkan: Sabtu, 2 Jun 2018 5:54 PM

Azlan dan Helmi (kanan) diraikan pasukan selepas bergelar juara pusingan pertama dalam kategori masing-masing pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Pelumba ngara, Azlan Shah Kamaruzaman berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan SuperSports 600cc musim 2018 apabila berjaya mengungguli Perlumbaan 1 pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun pada Sabtu.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing yang bermula dari petak pertama memulakan aksi dengan baik untuk mendahului perlumbaan namun berjaya di pintas beberapa pelumba lain seawal pusingan kedua perlumbaan.

Azlan bagaimanapun kekal memberikan cabaran di kelompok lima pelumba hadapan sebelum menggunakan peluang untuk memintas dan kembali mendahului kedudukan pada baki tiga pusingan terakhir sebelum berjaya menamatkan 13 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 29’09.539s.

Rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira muncul naib juara dengan masa 29’10.177s diikuti Anthony West (Webike Ikazuchi Racing) ketiga dengan masa 29’10.656s.

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang terbaik kepada saya,” jelas Azlan yang kini naik ke tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 63 mata.

“Perlumbaan seperti biasa berlangsung sengit, dan saya juga bersaing sengit dengan Yudhistira sendiri sebelum memenangi perlumbaan. Saya berharap dapat mengekalkan momentum seperti ini pada perlumbaan kedua esok (Ahad)."

West yang tidak beraksi dalam pusingan kedua di Australia sebelum ini turun ke tangga kedua keseluruhan dengan 61 mata manakala Yuki Ito (Yamaha Racing Asean) ketiga dengan 55 mata.

Saingan kelas Asia Production menjadi milik pelumba Indonesia, Rheza Danica Ahrens (Astra Honda Racing Team) yng menamatkan perlumbaan dengan masa 19'50.478s diikuti Anupab Sarmoon (YAMAHA Thailand Racing TEAM ) kedua, 19'55.777s.

Rakan sepasukan Rheza, Mario Suryo Aji di kedudukan ketiga dengan masa 19'55.986s manakala Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) muncul pelumba terbaik negara setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Rheza turut mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 98 mata.Sementara itu, pentas podium kategori Underbone 150cc menjadi milik pelumba Malaysia, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team) yang menamatkan lima pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’25.729s mengatasi rakan senegara, Md Akid Aziz.

Pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu menamatkan perlumbaan dengan masa 13’25.808s diikuti pelumba Indonesia, Gupita Kresna Wardhana (Yamaha Yamalube SND Factory) ketiga, 13’25.982s.

Kemenangan ini melonjakkan Helmi ke kedudukan teratas dalam senarai keseluruhan dengan 81 mata diikuti Md Izzat Zaidi (RCB Yamaha YY Pang Racing) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam di tangga kedua dengan 77 mata.

Akid naik ke tangga ketiga dengan mengumpul 61 mata.

Tags / Kata Kunci: ARRC , juara Suzuka
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan