Hafiz Syahrin Pelumba Malaysia Pertama Sertai MotoGP Dunia - F1 dan Motor | mStar

Hafiz Syahrin Pelumba Malaysia Pertama Sertai MotoGP Dunia

Diterbitkan: Rabu, 21 Februari 2018 9:48 PM

Pelumba negara Hafizh Syahrin bergambar selepas sidang media pengumuman penyertaannya bersama Monster Yamaha Tech3 MotoGP. - Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama bakal bersaing pada Kejuaraan MotoGP Dunia bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

Pelumba berasal dari Selangor berusia 23 tahun itu, akan bergandingan dengan bekas juara dunia Moto2 2016 Johann Zarco, sebagai pelumba kedua menggantikan Jonas Folger yang menarik diri atas faktor kesihatan.

Perkara tersebut disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, menyaksikan pelumba diberi jolokan ‘Pescao 55' itu ditawarkan kontrak selama setahun untuk beraksi dalam kelas perdana.

“Hafizh mengejutkan ramai pihak ketika sesi latihan di Litar Chang, Buriram di Thailand pada hujung minggu lalu. Walaupun kali pertama menguji jentera itu, beliau menunjukkan prestasi yang baik, sebab itu berjaya mendapat peluang ini.

“Selepas ini, kita serahkan Hafizh kepada ketua pasukan, Herve Poncharai. Dia akan bimbing dan didik Hafizh supaya menjadi seorang pelumba lebih matang dan baik serta dapat memberi saingan kepada pelumba lain seperti Valentino Rossi, Marc Marquez dan Jorge Lorenzo,” katanya pada sidang media mengumumkan perkara itu di sini, Rabu.

Pada sesi ujian pramusim ketiga di Buriram selama tiga hari bermula Jumaat lalu, Hafizh berjaya menamatkan ujian tersebut di tempat ke-21 selepas mencatat satu minit 31.537 saat pada litar sepanjang 4.554km itu.

Razlan berkata pencapaian Hafizh itu juga bakal menjadi motivasi kepada pelumba lain dan anak-anak muda untuk terus mencipta kejayaan dalam sukan permotoran di peringkat antarabangsa. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Hafizh Syahrin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan