Hafizh Syahrin Sedia Jadi Pelumba Pertama Negara - F1 dan Motor | mStar

Hafizh Syahrin Sedia Jadi Pelumba Pertama Negara

Diterbitkan: Selasa, 6 Februari 2018 8:42 AM

Hafizh kini bersama Pasukan Monster Yamaha Tech 3.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal mencipta sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia menyertai Kejohanan MotoGP Dunia yang berprestij, musim ini.

Pasukan Monster Yamaha Tech 3 mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada pelumba  kelahiran  Selangor itu untuk membuktikan kepada mereka keupayaannya dalam ujian selama  tiga hari di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, mulai Selasa, menurut laman sesawang The Motorsports www.motorsports.com.

Pasukan yang berpangkalan di Perancis itu bergelut untuk mencari pengganti kepada pelumbanya Jonas Folger dari Jerman yang terpaksa mengundur diri daripada pasukan itu di saat akhir kerana masalah kesihatan.

Mereka sudah menguji pelumba dari Colombia, Yonny Hernandez semasa ujian  pramusim MotoGP baru-baru ini di Litar Antarabangsa Sepang tetapi mereka lebih mengagumi keupayaan  Hafizh  Syahrin  untuk  berganding dengan seorang lagi pelumba mereka Johann Zarco, sepenuh masa.

Pengurus pasukan Tech 3, Herve Poncharal  ingin mendapatkan perkhidmatan Hafizh Syahrin dan berharap pelumba negara itu dapat meyakinkan mereka dalam ujian selama tiga hari itu.

“Sebagaimana diketahui ramai, sejak Jonas Folger menyatakan beliau tidak  dapat  berlumba  dalam  2018, kami sedang mencari pelumba yang sesuai untuk menggantikannya.

“Berikutan ujian di Sepang, kami mengadakan banyak mesyuarat dan diputuskan bahawa Hafizh  Syahrin merupakan satu pilihan yang amat baik untuk pasukan Monster Yamaha Tech 3.

"Buat masa ini, hanya  tiga hari tetapi saya lebih daripada yakin bahawa Hafizh akan menunjukkan kepada kami apa yang boleh dilakukannya.Mari kita lakukan ujian itu, saya sudahpun  teruja dan optimis dan tidak lama lagi selepas Buriram, kami akan membuat keputusan akhir,” kata Poncharal.

Hafizh Syahrin, 23 yang mempunyai pengalaman empat tahun di Moto2 dan menaiki podium tiga kali berharap akan menyempurnakan ujian selama tiga hari itu dengan baik.

“Saya akan melakukan yang terbaik semasa ujian tiga hari itu di Thailand.  Bagi saya, ia adalah impian jadi kenyataan untuk menunggang sebuah jentera MotoGP. Saya akui, saya amat teruja mendapat peluang ini. Saya berharap saya boleh menjadi pelumba yang pantas uhtuk menunjukkan kepada setiap orang tentang kebolehan saya,” kata Hafizh Syahrin.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Hafizh Syahrin , MotoGP
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan