Nabil Raih Petak Pertama Siri Le Mans Asia Di Litar Sepang - F1 dan Motor | mStar

Nabil Raih Petak Pertama Siri Le Mans Asia Di Litar Sepang

Diterbitkan: Sabtu, 3 Februari 2018 8:25 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pemandu Malaysia, Nabil Jeffri yang mewakili pasukan Eurasia Motorsport meraih petak pertama pada pusingan keempat perlumbaan Siri Le Mans Asia 2017/2018 di Litar Sepang, Sabtu.

Pada sesi kelayakan pada Sabtu, Nabil yang bergandingan dengan pemandu berpengalaman, Marco Asmer dan Jake Parsons, memilih sesi kelayakan selama 15 minit, mencatat 1 minit 55.424 saat di trek mencabar sepanjang 5.543 meter itu untuk menduduki tempat teratas kelas LMP2 menggunakan jenteranya Ligier JS P2.

Menyertai beliau di barisan hadapan bagi perlumbaan lasak selama empat jam itu adalah pasukan BBT selepas pemandunya, Pipo Derani mencatat masa kedua terpantas dengan 1 minit 55.881 saat, menggunakan sebuah lagi jentera Ligier JS P2.

Barisan kedua pula adalah dua pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota, yang menampilkan Stephane Richelmi, Harrison Newey dan Thomas Laurent; serta kesemua pemandu Malaysia terdiri daripada Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Afiq Ikhwan Yazid yang bermula di kedudukan keempat di grid.

Jazeman mencatat masa 1 minit 56.644 saat dengan jentera Oreca 05 Nissan. 

Mengulas mengenai prestasinya, Nabil berkata kejayaannya meraih kedudukan petak utama itu hasil pengalamannya bersaing dalam siri GP2.

“Pengalaman saya beraksi pada GP2 sejak dua musim lepas banyak membantu saya. Ia membuatkan jentera ini mudah dikendalikan. Saya seperti tidak percaya kerana ini kali pertama saya bersaing dalam perlumbaan ini dan memandu kereta berkenaan.

“Namun, saingan esok sudah tentu berbeza. Suatu perlumbaan yang panjang, dan Marco (Asmer) akan membuat permulaan kerana beliau paling berpengalaman. Apa pun, kami sangat gembira dengan apa diraih hari ini, petak utama,” kata Nabil kepada pemberita. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Nabil Jeffri , Eurasia Motorsport
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan