"Bukan Tutup Pintu Selamanya" - F1 dan Motor | mStar

"Bukan Tutup Pintu Selamanya"

Diterbitkan: Rabu, 4 Oktober 2017 12:37 PM

(Ubah saiz teks)

BERMULA 2019, tiada lagi bendera Malaysia dalam kalendar perlumbaan Grand Prix Formula (F1).

Rata-rata tentunya sedia maklum, ianya berikutan penamatan setahun lebih awal kontrak penganjurannya susulan situasi ekonomi semasa tidak lain kerana kosnya yang semakin tinggi.

Ini bermakna 30 September lalu adalah deruman enjin jentera F1 yang terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang sekaligus memahatkan suka duka 19 tahun sebagai penganjur sukan pemotoran berprestij dunia ini.

Bagi Datuk Razlan Razali, tempoh sembilan tahun dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC yang dianggap salah satu impiannya sudah tercapai memandangkan beliau adalah peminat perlumbaan F1 dan MotoGP.


Dalam tempoh itu, Razlan mengakui 2009 dan 2017 adalah saat yang tidak boleh dilupakan.

"Azam saya ketika mula-mula menyertai SIC adalah untuk memecah rekod kehadiran penonton pada 2008 (126,690 pengunjung) yang juga sejarah kehadiran tertinggi sepanjang 19 tahun penganjuran.

"Bagaimanapun ia tidak kesampaian dan pada penganjuran terakhir tahun ini pengunjungnya mencapai 110,604 orang untuk tempoh tiga hari.

"Pun begitu saya gembira perlumbaan akhir ini berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi yang timbul," ujarnya yang mengakui agak sedih dengan perlumbaan terakhir pada Ahad lalu.

Menurut Razlan, penonton memainkan peranan penting dalam sesebuah penganjuran mega yang akan memberi impak kepada banyak faktor.

"Kita cuba melakukan pelbagai aktiviti, malah turut memberi diskaun sehingga 82 peratus harga tiket tahun ini, namun ia juga masih tidak mencapai rekod tertinggi, namun secara keseluruhan peratusannya naik 23 peratus berbanding tahun lalu (83,828 pengunjung).

"Perlumbaan terakhir F1 ini sebagai ujian. Itu juga pesanan penting untuk kita sebagai penganjur agar mempelajari sesuatu jika ingin membawa kembali perlumbaan ke sini.

"Jadi dengan tempoh rehat ini, kita akan menilai kembali apa yang perlu dibuat untuk menarik lebih ramai pengunjung di masa akan datang.

"Mungkin dengan adanya pelumba tempatan, ia akan mengubah persepsi ini. Kita sedia maklum lima tahun pertama, peminat akan datang ke litar dan teruja melihat perlumbaan ini, tetapi selepas itu mereka akan bosan, malahan memgambil keputusan menonton di televisyen sahaja," tambahnya.


Jelas Razlan, penamatan kontrak selaku penganjur bukan untuk selama-lamanya.

"Seperti yang saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) nyatakan, ini bukan episod tutup pintu buat selama-lamanya. Kita akan kembali lagi dengan sesuatu yang lebih menarik.

"Paling minima lima tahun kita berehat selepas membuat semua penilaian. Dan dalam tempoh ini juga kita merancang agar SIC tidak sepi dengan sebarang aktiviti.

"Antaranya akan membawa masuk kembali perlumbaan Japan Super GT, V8 Super Cars Australia (Vesa) serta Kejuaraan FIM Endurance 8 Jam.

"Dalam pada itu juga, litar akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan lebih canggih dengan menyediakan hotel serta taman rekreasi untuk keluarga beriadah.

"Dan paling penting kita akan terus menganjurkan perlumbaan MotoGP yang kontraknya sehingga 2021," jelas Razlan.

Tags / Kata Kunci: Datuk Razlan Razali
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan