ARRC: Zaqhwan Juara SuperSports 600cc

Diterbitkan: Ahad, 4 Disember 2016 8:47 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mohd Zaqhwan Zaidi menamatkan musim 2016 dengan cemerlang apabila dinobatkan selaku juara keseluruhan SuperSports 600cc sebaik Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) berakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, Ahad.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan mengumpul 162 mata, empat mata mengatasi Tomoyoshi Koyama (T. Pro Yuzy Honda NTS With WOW) di kedudukan kedua dengan 158 mata manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (Bike ART Racing Kawasaki ) di kedudukan ketiga dengan 142 mata.

Sebelum Perlumbaan 2 bermula, Zaqhwan berada di kedudukan kedua keseluruhan dan misinya untuk memburu gelaran juara hanya terlaksana seandainya dia berjaya menaiki podium ataupun perlu tamatkan perlumbaan dengan kelebihan enam mata berbanding Koyama.  

Kejayaan Zaqhwan hadir apabila Koyama yang mempuyai kelebihan enam mata di hadapan sebelum Perlumbaan 2 mengalami masalah jentera pada pertengahan perlumbaan dan gagal untuk meneruskan perlumbaan.

Zaqhwan yang berada di kedudukan kesembilan mengekalkan momentum sehingga ke garisan penamat dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dengan masa keseluruhan 30'03.488s.

Perlumbaan dimenangi duo Yamaha Thailand Racing Team, Decha Kraisart dan Chalermpol yang menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 29'56.605s dan 29'57.553s.

"Saya tidak menyedari jentera Koyama mengalami masalah kerana sejak awal perlumbaan saya berada di hadapan Koyama. Hanya pada penghujung perlumbaan saya tahu yang Koyama tidak lagi berada di atas litar," jelas Zaqhwan.

Tambah Zaqhwan, dia sama sekali tidak menyangka dapat meraih gelaran kedua ini kerana agak sukar untuk saya menjarakkan diri dengan Koyama. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada semua terutama pasukan, penaja, keluarga dan rakan-rakan yang bekerja-keras dan menyokongnya sepanjang tahun ini.

Kemenangan ini juga menyaksikan pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing berjaya mempertahankan gelaran juara individu dan pasukan buat tahun kelima berturut-turut sejak 2012.

Sementara itu, pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan kategori Underbone 130cc.

Pelumba TPK48 BKMS itu selesa mendahului sehingga ke penamat untuk menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 17'16.687s manakala rakan senegara, Florianus Roy Brilyan (Malioboro City Jogjakarta BKMS) kedua dengan masa 2'09.185s diikuti pelumba Malaysia, Md Shah Khairil Hisham (Felda PB Racing) ketiga, 2'08.846s.

Jumlah 25 mata yang dipungut meletakkan Wahyu kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 149 mata untuk dinobatkan selaku juara Underbone 130cc terakhir setelah kategori ini akan ditukar kepada jentera 150cc bermula musim 2017.

Pelumba negara, Md Amirul Ariff Musa (T. Pro Yuzy Honda NTS) yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima terpaksa akur berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 133 mata diikuti rakan senegara, Md Izzat Zaidi (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang) dengan 117 mata.

Tags / Kata Kunci: ARRC , Mohd Zaqhwan Zaidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan