Tempoh Sedekad Untuk Rosberg Rangkul Juara Dunia Pertama

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2016 9:33 PM

Rosberg meraikan kejayaan dunia pertamanya di Malaysia sebelum kembali ke Jerman pada Rabu.

(Ubah saiz teks)

KEJAYAAN pelumba Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg yang baharu sahaja dinobatkan juara dunia 2016 selepas pusingan akhir F1 di Grand Prix Abu Dhabi pada Ahad amat istimewa buat pelumba berusia 31 tahun ini.

Dalam tempoh sedekad bergelar pelumba F1 akhirnya impiannya sejak kanak-kanak untuk menjadi pelumba No.1 dunia tercapai.




Perjalanan Rosberg sepanjang kariernya untuk merebut gelaran juara dunia ini bukanlah mudah dan dia tidak bertuah seperti  juara- juara dunia sebelum ini yang lebih pantas untuk berada di kemuncak kejayaan ini.

Contoh terdekat rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang hanya mengambil tempoh setahun selepas memulakan karier F1 pada 2007 dan bergelar juara dunia kali pertama pada 2008.

Bagaimanapun, anak bekas pelumba lagenda Finland, Keke Rosberg ini tidak pernah mengenal erti putus asa, malah menunjukkan peningkatan prestasi setiap tahun dan melakar kemenangan grand prix sebanyak 23 trofi, manakala 30 kali menguasai petak pertama.

Tahun 2016 dianggap tahun yang paling menakjubkan baginya apabila buat julung kalinya dinobatkan sebagai juara dunia dan bakal menerima penganugerahan secara rasmi daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada Jumaat ini.

Lebih manis, Rosberg turut berkongsi pengalaman pahit manis sepanjang musim ini sebelum bergelar juara dunia bersama peminat-peminat di Malaysia.

Rosberg meluahkan betapa teruja dan beremosi apabila melihat sambutan luar biasa ketika tiba di Kuala Lumpur, lokasi pertama meraikan kejayaannya itu.

"Sangat-sangar istimewa sambutan daripada pasukan Petronas. Semua orang memakai baju hijau. Saya terlalu emosi dengan keadaan ini.

"Sudah tentu ia merupakan gelaran kejuaraan dunia yang pertama bagi saya. Dan kejayaan kami ini  juga adalah kejayaan anda juga.

"Bagi saya, ia adalah mimpi saya ketika kanak-kanak. Sepanjang 25 terbabit dalam dunia pemotoran (bermula dengan go-kart ketika usia 6 tahun), seperti seluruh hidup saya.

"Situasi yang amar sukar dan tekanan yang sangat kuat tetapi saya berjaya menamatkan saingan hingga ke garisan penamat.

"Ia berlaku dalam pasukan ini. Saya bersama keluarga Mercedes F1 amat gembira. Hari pertama menyertai pasukan ini (2010), kami bukan yang terbaik, tetapi sekarang kami adalah yang terbaik di dunia.

"Saya meraikan kejayaan ini selepas perlumbaan akhir itu bersama keluarga saya, isteri serta rakan-rakan rapat," ceritanya penuh teruja ketika menemui media Malaysia pada Selasa.

Rosberg meraikan kejayaannya bersama isteri, Vivian Sibold.


Walaupun hanya beberapa minit berkongsi saat-saat manisnya itu, Rosberg tetap tidak melupakan rakan sepasukannya yang juga merupakan 'musuh' utama ketika di litar.

"Kami bersaing sesama sendiri dan cuba menamatkan perlumbaan di tempat terbaik dan ada kalanya ia membuatkam saya lebih tertekan.

"Tetapi kami tetap menghormati antara satu sama lain, dan dia adalah kawan baik saya sejak sekian lama. Dia juga telah banyak membantu menaikkan nama pasukan," jelasnya.

Mengenai penganjuran  Litar Antarabangsa Sepang yang mungkin menamatkan penganjuran selepas 2018, Rosberg berharap keputusan sebaliknya akan berlaku.

"Sokongan amat baik. Malah ada juga peminat-peminat dari luar negara yang datang ke litar ini untuk menonton F1.

"Ia sesuatu yang amat baik kepada peningkatan ekonomi Malaysia atau perkara lain. Dan dengan itu marilah kita gunakan tempoh dua tahun akan datang ini dengan penuh kegembiraan  dan penuh semangat.

"Namun saya harap ia akan tetap diteruskan untuk tempoh beberapa tahun lagi kerana trek di Litar Sepang adalah salah satu yang terbaik dunia," katanya.

Rosberg juga turut berharap Grand Prix Jerman yang juga kampung halamannya akan terus tersenarai dalam kalender perlumbaan tahun depan.

"Saya harap keputusan perbincangan akan positif kerana bagi saya tidak ada makna perlumbaam F1 tidak berlangsung di Jerman kerana di situ lahirnya ramai pelumba-pelumba legenda dunia".

Sebelum ini GP Jerman turut bercadang untuk menamatkan penganjuran berikutan masalah ekonomi.

Sebagai rekod, Hamilton merupakan juara bertahan dua tahun berturut-turut (2014,2015) sebelum dirampas Rosberg tahun ini 




Profil penuh:

Nama: Nico Rosberg

Tarikh lahir: 27 Jun 1985

Negara lahir: Jerman

Pasukan : Mercedes

No jentera: 6

Mula karier: 2006

Pasukan Willliams- GP Bahrain

Jumlah Penyertaan: 206

Gelaran Juara dunia : 1 (2016) (385 mata)

Trofi kemenangan (juara pusingan) :23 buah

Podium: 57 kali

Petak pertama:30 kali

Trofi kemenangan pertama: 2012

GP China Trofi kemenangan terakhir:2016 GP Jepun

Tags / Kata Kunci: Nico Rosberg , F1 , Mercedes , Juara Dunia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan