MotoGP: Marquez Rangkul Gelaran Juara Dunia Kali Ke-3

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2016 1:14 PM

(Ubah saiz teks)

PELUMBA Honda, Marc Marquez melengkapkan koleksi trofi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang ketiga dalam tempoh empat tahun selepas memenangi perlumbaan GP Jepun pada Ahad.

Marquez menjadi pelumba termuda menjuarai tiga gelaran dunia dalam usia 23 tahun melengkapi gelaran musim ini dengan kelebihan 77 mata (273) ke atas pencabar utama pelumba Yamaha, Valentino Rossi (196).

Rakan sepasukan Rossi yang juga juara musim lalu, Jorge Lorenzo berada di tempat ketiga keseluruhan pelumba dengan mengumpul 182 mata.

"Setiap tahun saingan semakin sengit, dan kamu akan terus memberi persembahan maksimum..tetapi tahun ini tekanan yang saya hadapi amat tinggi.

"Namun semakin banyak tekanan, ia memberikan lebih motivasi kepada saya. Kombinasi ini mengekalkan fokus saya," jelasnya.

Pengalaman tewas kepada Lorenzo musim lalu telah mengajarnya bagaimana untuk mengawal tekanan.

"Kadang kala saya terlupa untuk menikmati perlumbaan kerana terlalu tertekan. 

"Tetapi pasukan saya banyak membantu sekaligus saya dapat lupakan tekanan sepanjang perlumbaan.

"Juara sebenar adalah apabila kamu mampu mengatasi tekanan. Ianya 'okay' jika kamu melakukan kesilapan yang sama tetapi tahun lepas saya menerima pengajaran bahawa aksi konsisten sangat penting," jelas pelumba kelahiran Sepanyol ini.

Biarpun telah dinobatkan sebagai juara dunia, Marquez bakal meneruskan aksi pusingan musim ini di Philip Island minggu depan sebelum bertandang ke Malaysia pada 28-30 Oktober ini.

Sebagai rekod, kali pertama Marquez merangkul gelaran dunia pada tahun 2013, diikuti 2014 sebelum kembali melakar rekod juara keseluruhan tahun ini. 

Tags / Kata Kunci: Marc Marquez , Honda

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan