Lebih 5,000 Atlet, Pegawai Daftar Untuk Sukma Sarawak

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2016 1:20 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Lebih 5,000 atlet dan pegawai telah mendaftar untuk menyertai Sukan Malaysia XVIII (Sukma Ke-18) yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai ini, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abd Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 15 kontinjen iaitu 14 kontinjen negeri  dan wilayah persekutuan serta satu kontinjen dari negara Brunei.

"Jumlahnya dijangka mencecah 6,000 hingga 7,000 orang kerana ada pegawai dari negeri yang belum mendaftar seperti Perak yang pada awalnya ialah 500 orang dan kini bertambah kepada 561 orang," katanya kepada pemberita.

Beliau mengetuai Sekretariat Sukma ke-18 mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar di sini Isnin.

Abd Karim Rahman berkata pertandingan akan diadakan di empat daerah iaitu Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Miri di mana sebanyak 20 sukan akan berlangsung di Kuching dan Kota Samarahan manakala dua sukan iaitu badminton dan bola tampar di Sibu dan tiga acara lain di Miri.

Sukan lain termasuk akuatik akan diadakan di Kompleks Sukan Sarawak di Kuching di pusat akuatik bertaraf dunia dan tercanggih di Asia Tenggara, katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan akan mengetuai 561 atlet dan pegawai kontinjen Perak.

Beliau berkata Perak akan mencontohi persiapan Sarawak apabila Perak menjadi tuan rumah Sukma ke-19 pada 2018. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Sukma Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan