Adam Norrodin Perlu Rujuk Jabatan Pendidikan Negeri Untuk Duduki SPM

Diterbitkan: Rabu, 13 April 2016 5:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba sensasi Moto3 negara, Adam Norrodin perlu merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya berhasrat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Asmad Ahmad berkata sebarang urusan atau prosedur untuk menduduki peperiksaan SPM perlu mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di mana tempat beliau mendaftar persekolahan sebelum ini.

"Pihak SSBJ tidak mempunyai hak untuk menentukan sama ada boleh masuk di sini ataupun tidak kerana ia perlu dirujuk kepada JPN terlebih dahulu sebab ada beberapa prosedur yang perlu diikuti.

"Selepas itu baru kita tentukan dan kita melihat kekosongan untuk mengambil pelajar baharu," katanya kepada Bernama.

Menurut Asmad, pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada Adam, 18, untuk mendaftar masuk di SSB, namun bersedia mempertimbangkan hasrat Adam bagi menyambung pengajian di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun beliau mencadangkan agar Adam mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun hadapan memandangkan tempoh pendaftaran menduduki peperiksaan sudah tamat.

Sementara itu pihak Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia ketika dihubungi berkata tarikh pendaftaran bagi calon yang ingin menduduki peperiksaan SPM tahun ini telah ditutup pada 31 Mac lepas.

Berdasarkan Lembaga Peperiksaan, pelajar yang masih belum mendaftar untuk menduduki peperiksaan boleh membuat pendaftaran semula pada 1 hingga 31 Mac tahun hadapan.

Bagi calon sekolah pendaftaran, ia akan diuruskan oleh pihak sekolah manakala bagi calon persendirian, mereka perlu berdaftar dengan JPN.

Namun bagi kes tertentu, calon yang masih mahu menduduki SPM tahun ini boleh membuat permohonan kepada Lembaga Peperiksaan dengan menghantar surat tunjuk sebab kelewatan mendaftar peperiksaan kepada pengarah peperiksaan.

Keputusan sama ada boleh menduduki peperiksaan SPM atau tidak tahun ini hanya akan ditentukan oleh pihak pengurusan tertinggi Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan calon mungkin perlu membayar denda atas kelewatan pendaftaran. 

Sebelum ini Norrodin Jalil iaitu bapa kepada Adam berkata beliau berhasrat melihat anaknya menduduki peperiksaan SPM.

Adam yang mencuri tumpuan dunia selepas hampir menaiki podium sebelum terjatuh pada perlumbaan motorsikal Grand Prix Argentina, sepatutnya mengambil SPM tahun lepas namun terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana menghabiskan banyak masa dengan menyertai perlumbaan di Sepanyol.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Adam Norrodin , SPM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan