Khairul Idham Mahu Tangguh Ambil SPM Tahun Ini, Tumpu Kerjaya

Diterbitkan: Rabu, 13 April 2016 5:11 PM

(Ubah saiz teks)

PASIR SALAK: Pelumba Moto3 negara yang mencipta sejarah sukan permotoran Malaysia, Khairul Idham Pawi berhasrat menangguhkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini bagi menumpukan kerjaya dalam dunia sukan permotoran.

Pelumba berusia 17 tahun itu yang bersekolah di Sekolah Menengah Dato Seri Maharaja Lela itu berkata beliau mahu memberikan fokus penuh dalam membina karier dunia permotoran buat masa ini.

"Saya tetap akan mengambil SPM itu nanti namun disebabkan jadual latihan dan perlumbaan yang padat, saya tangguhkan hasrat tersebut buat seketika," katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik tiba ke kampung halamannya di Simpang Empat Kampung Gajah di sini, Rabu.

Terdahulu pada sebelah paginya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khairul Idham telah disambut meriah oleh 100 peminatnya yang memegang poster dan dua kain rentang gergasi dengan ucapan tahniah kepada pelumba negara yang mendapat tempat pertama pada pusingan kedua perlumbaan motosikal Grand Prix Argentina, 3 April lepas.

Sebanyak dua buah bas rombongan yang terdiri daripada sanak-saudara dan rakan-rakan Khairul Idham serta penduduk kampung pergi ke KLIA untuk memberi sambutan wira kepada pelumba negara itu.

Khairul Idham atau lebih dikenali dengan panggilan KIP dan Keon berkata sebaik pulang ke kampung halaman, beliau menyatakan rasa tidak sabar mahu makan makanan kegemaran, tomyam masakan ibunya.

"Kalau saya balik, ibu mesti akan buat tomyam," katanya.

Ditanya mengenai perancangan terdekat sebaik pulang ke kampung halaman, beliau bercadang akan membuat barbeku bersama kawan-kawan rapat pada malam ini.

"Saya memang tidak lepas membuat barbeku di rumah setiap kali balik kampung selepas perlumbaan. Itulah cara saya berhibur dan menghargai kawan-kawan rapat," katanya.

Khairul Idham berkata beliau akan memanfaatkan masa dan peluang beristirehat bersama keluarga sebaik-baiknya sebelum berlepas berseorangan ke Sepanyol pada 19 April ini bagi menjalani latihan bersama pasukannya Honda Team Asia serta meneruskan cabaran pusingan keempat di Litar Jerez pada 22 hingga 24 April.

"Saya akan ke pergi ke Sepanyol Selasa depan dan dijangka akan pulang awal puasa nanti kerana pasukan saya berpangkalan di sana. Selama ini paling lama saya tinggalkan kampung pun dalam dua minggu sahaja," katanya yang meminati pelumba sensasi MotoGP Marc Marquez.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata dalam tempoh rehat ini, beliau akan bertemu peminat di Batu Kawan, Pulau Pinang pada perlumbaan Cub Prix Petronas, Ahad ini selain memberi sokongan kepada adik bongsunya, Khairul Anuar Pawi, 16 yang beraksi dalam kategori Wira.

Selepas meraih podium di Argentina, Khairul Idham menamatkan pusingan ketiga di Amerika Syarikat di kedudukan ke-20 selepas bermula dari petak ke-32 ekoran salah percaturan ketika saingan sesi kelayakan. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: Khirul Idham Pawi , Moto3 , SPM

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan