Di Grassi Juarai ePrix Putrajaya 2015

Diterbitkan: Sabtu, 7 November 2015 8:53 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pemandu ABT Schaeffler Audi Sports, Lucas Di Grassi menampilkan aksi terpuji untuk menjuarai pusingan kedua Kejohanan FIA Formula E 2015 dalam saingan ePrix Putrajaya.

Pemandu dari Brazil itu menamatkan perlumbaan 33 pusingan sejauh 84.5 kilometer di litar jalanan di pusat pentadbiran Malaysia itu, dengan catatan masa 50 minit 17.449 saat.

Di Grassi menerima trofi kejuaraan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kemenangan ini hasil prestasi, kerja berpasukan dan keberkesanan...jadi kami dapat meraih mata berharga. Saya berdepan masalah dengan cuaca pada awal perlumbaan, sebab itu saya bermula perlahan. Namun, saya dapat menyesuaikannya selepas itu dan melakukan yang terbaik.

"Kami melakukan apa yang sepatutnya terhadap enjin dalam keadaan cuaca panas. Ia satu perlumbaan yang panjang dan saya perlu tepat ketika mengambil selekoh, dan tidak melakukan kesilapan," kata Di Grassi yang bermula di petak keenam pada perlumbaan itu.

Di Grassi berkata prestasinya semakin baik berbanding ketika pusingan  pertama di ePrix Beijing pada 24 Okt lepas, apabila beliau menamatkan saingan di tempat kedua.

Selepas dua pusingan, Di Grassi mendahului carta kedudukan kejohanan dunia itu dengan 48 mata, diikuti Sebastien Buemi dari Switzerland di tempat kedua (30 mata) dan Sam Bird dari Great Britian di posisi ketiga apabila mengumpul 24 mata.

"Ia keputusan yang baik kepada pasukan. Saya menjuarainya di sini dan tempat kedua di Beijing...sekarang saya mendahului kejohanan ini. Terima kasih kepada pasukan atas usaha yang hebat. Selepas ini, kami akan terus memperbaiki untuk perlumbaan akan datang.

"Pada saingan ePrix Beijing, saya tidak cukup laju untuk muncul juara dan di  Putrajaya, kami tahu apa yang perlu dilakukan. Saya gembira dengan kedudukan sekarang," katanya.

Mengekori rapat Di Grassi pada perlumbaan hari ini, dengan hanya ketinggalan 13.884 saat adalah Bird, juara ePrix Putrajaya 2014, daripada pasukan DS Virgin Racing Formula E yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Sementara, pemandu Pasukan Andretti Formula E Race, Robin Frijns dari Belanda, menduduki tempat ketiga dengan masa 50:47.225s.

Buemi daripada Pasukan Renault e.Dams, yang bermula di petak hadapan, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dengan masa 51:41.913s.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan