Hafizh Syahrin Duduki Tempat Ke-16 GP Australia

Diterbitkan: Ahad, 18 Oktober 2015 7:22 PM

Hafizh Syahrin Abdullah

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penunggang Petronas Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan Grand Prix Australia dengan catatan yang mengecewakan apabila menamatkan perlumbaan Moto2 tanpa mengutip mata.

Walaupun bermula di petak kelima pada perlumbaan 25 pusingan itu, penunggang Pembangunan Bakat Petronas mengalami kesukaran sepanjang perlumbaan dengan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-16 dengan catatan masa 39 minit 47.299 saat.

Alex Rins dari Sepanyol memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 39:00.084, di depan pelumba Britain, Sam Lowes dan penunggang Itali, Lorenzo Baldassarri yang masing-masing mencatat masa 39:06.717 dan 39:10.492.

Sementara itu seorang lagi penunggang Malaysia, Azlan Shah yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-21 dengan masa 39:55.357.

Kemalangan semasa sesi memanas badan pada sebelah pagi turut menyebabkan pelumba berusia 21 tahun itu gagal mengulangi kejayaan berada dalam kelompok lima terbaik yang dicapai semasa GP Jepun minggu lalu.

"Saya agak gementar dan hilang keyakinan tetapi saya mengawal diri saya kerana penting bagi saya untuk kekal dalam perlumbaan. Saya minta maaf kepada semua yang memberi sokongan kepada saya kerana keputusan yang mengecewakan ini.

"Bagaimanapun saya mahu melakukan yang terbaik pada minggu depan untuk perlumbaan tempat sendiri di Sepang," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sekarang Hafizh Syahrin berada pada kedudukan ke-18 Moto2 dunia, selepas mengumpul 56 mata sementara Azlan pada kedudukan ke-23 dengan 24 mata.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan