WSBK: Rea Akui Litar Sepang Sukar, Sedia Hadapi Saingan

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 7:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan pusingan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK), pelumba Kawasaki Jonathan Rea membuktikan kepantasan kepada 31 pelumba yang lain apabila menguasai kedudukan pertama keseluruhan dengan 407 mata.


Musim lalu ketika aksi di Sepang, Rea hanya mampu menamatkan saingan pada kedudukan ke-6 dengan menunggang PATA Honda, namun nasibnya tahun ini dilihat lebih cerah, lebih-lebih lagi dia berjaya menamatkan saingan dalam kelompok ketiga terbaik dalam 18 perlumbaan, manakala mencatat 11 kemenangan.

Malah rakan sepasukannya juga Tom Sykes turut mengiringi Rea untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 282 mata.

“Tahun lalu saya mengalami kesukaran dengan Litar Sepang, namun saya telah mempelajari dan yakin akan melakukan yang lebih baik kali ini. Saya jangkakan cuaca sangat panas dan kemungkinan juga akan hujan pada perlumbaan nanti, jadi kami sudah bersedia untuk berdepan dengan keadaan itu.

“Pun begitu saya akui, Litar Sepang amat istimewa  dan sangat teruja dengan sokongan-sokongan orang Asia, jadi sudah tentu saya mengharapkan hujung minggu yang baik,” jelasnya selepas menyertai lawatan bersama pelumba-pelumba WBSK di Kompleks Kraf Jalan Conlay pada Khamis.

Sementara itu, Sykes turut mengakui Litar Sepang juga merupakan venue Grand Prix yang menakjubkan.

“Reka bentuk Litar Sepang amat luar biasa malah saya amat menikmati cuaca di sini. Ia sesuatu yang berbeza dan amat mencabar. Kami semakin baik musim ini berbanding tahun lalu dan harap akan meneruskan aksi cemerlang seperti di Laguna sebelum ini,” jelas pelumba  berusia 29 tahun ini.

Pada aksi tahun lalu pelumba Aprilia, Marco Melandri diikuti rakan sepasukannya Sylvain Guintoli dan ketiga Sykes menguasai dua perlumbaan untuk mencapai kejuaraan sulung di Litar Sepang.

Tags / Kata Kunci: WBSK , Jonathan Rea

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan