Ramdan Beraksi Wildcard Moto2 Di Catalunya

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

PELUMBA muda negara, Mohd Ramdan Mohd Rosli bakal membuat penampilan pertama dalam aksi Moto2 Kejuaraan Dunia (MotoGP) apabila pasukan PETRONAS AHM Malaysia mengumumkan pelumba itu akan beraksi atas tiket wildcard di Grand Prix Catalan di Litar Catalunya, Sepanyol pada 12 hingga 14 Jun ini.


Penyertaan ini juga merupakan aksi wildcard kedua pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS di pentas MotoGP apabila turut tampil atas tiket wildcard kategori Moto3 di Grand Prix Malaysia di Sepang, tahun lepas.

Penampilan ini juga merupakan penampilan kedua Ramdan di dalam kelas Moto2 selepas beraksi dalam saingan pusingan pembukaan Kejuaraan Moto2 Eropah di Portugal, bulan lepas di mana dia menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-16 dan kedudukan ke-22 pada Perlumbaan 2.

Pelumba berusia 20 tahun itu akan menjalani sesi ujian selama dua hari bagi memahami dan membiasakan diri dengan jentera yang akan digunakan untuk aksi wildcard nanti.Selain Ramdan, pelumba Malaysia lain yang turut beraksi dalam kelas Moto2 termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Raceline Malaysia) yang juga merupakan pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat PETRONAS, Azlan Shah kamaruzaman (Honda Team Asia) dan Zaqhwan Zaidi (JP Moto).

Pengurus pasukan, Kenny Chua merupakan individu yang mula mengesan bakat Ramdan sejak berusia 12 tahun lagi dan sejak itu kerjasama mereka telah berjaya membawa kepada beberapa gelaran di dalam siri kejuaraan yang disokong oleh PETRONAS iaitu Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Pada tahun 2011, pelumba kelahiran Klang itu menyertai Program Pembangunan Bakat PETRONAS, program yang menyediakan peluang dan platform untuk bakat muda sukan permotoran Malaysia untuk mengembangkan karier perlumbaan mereka.

Tidak cukup dengan kejayaan dalam siri tempatan, Ramdan turut beraksi di peringkat benua seperti pentas Kejuaraan Motosikal Asia di mana dia beraksi dalam kelas Underbone 115cc pada tahun 2010 dan 2011 serta kelas lebih kompetitif, SuperSports 600cc pada tahun 2012 dan 2013.

Ramdan turut beraksi dalam beberapa siri perlumbaan kelas 600cc di luar negara seperti di China, Taiwan, Indonesia dan Australia sebelum beralih ke saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) pada tahun 2014 dan Kejuaraan Moto2 Eropah pada musim 2015.

Tags / Kata Kunci: Ramdan , Petrona , Moto2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan