SIC Positif Kontrak Penganjuran F1 Diperbaharui

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2015 9:33 PM

Mokhzani Tun Dr Mahathir (kiri) bersama Razlan memberi penerangan kepada wakil media semasa Majlis Bersama Media sempena perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2015 di Litar Sepang hujung minggu ini.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir memberi bayangan positif bahawa kontrak penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar SIC akan dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimanapun Mokhzani berkata keputusan pembaharuan kontrak itu masih belum muktamad dan hanya akan diumumkan jika mendapat kebenaran daripada pemegang saham iaitu Kementerian Kewangan.

"Kita masih lagi dalam proses perbincangan dengan FOM (Formula One Management) serta meneliti perjanjian baharu ini. Pihak SIC mahu satu keputusan yang tidak akan merugikan mana-mana pihak.

"Kita mahu situasi menang-menang...masih ada beberapa isu yang saya belumberpuas hati dan jika ia dapat dibincangkan dengan baik, SIC akan sambung kontrak untuk tiga tahun lagi," katanya kepada pemberita dalam satu majlis minum petang bersama media di SIC, pada Isnin.

Mengulas mengenai jangka masa kontrak selama tiga tahun, Mokhzani berkata tiada tempoh minimum mahupun maksimum dinyatakan oleh FOM.

Katanya tempoh tiga tahun itu mencukupi buat SIC untuk memperbaiki dan menambah baik penganjuran F1 di masa akan datang. Mokhzani berkata penglibatan Petronas dalam menaja pasukan Mercedes AMG juga turut memberi perangsang kepada SIC untuk terus menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia itu.

"Difahamkan Petronas melanjutkan kontrak mereka selama tiga tahun untuk terus menaja pasukan Mercedes AMG, sekali gus ia menjadi perangsang untuk pastikan F1 berlansung di Sepang," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata pihaknya telah bersedia untuk menganjurkan perlumbaan kali ini yang dijadualkan berlansung pada 27 hingga 29 Mac ini.

Razlan berkata SIC juga telah memenuhi kesemua syarat dan keperluan terkini yang diperuntukkan oleh FOM serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). 

Tags / Kata Kunci: SIC , F1

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan