Ferrari Perkenal Jentera Baru Mereka

Diterbitkan: Ahad, 1 Februari 2015 11:16 AM

(Ubah saiz teks)

JENTERA F1 dari Itali, Ferrari telah memperkenalkan kenderaan baru bagi musim 2015 yang bakal dipandu oleh juara dunia empat kali Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen.

Sepertimana masa-masa lalu, Ferrari terus kekal dengan warna merah sebagai warna trade mark mereka.

Ferrari hanya mampu berada di tempat keempat musim lalu dengan juara dunia dua kali, Fernando Alonso telah meninggalkan pasukan itu untuk menyertai McLaren.

Mereka berharap dengan penyertaan Vettel, mereka akan kembali sebagai kuasa dunia dalam perlumbaan F1.

Vettel bakal menerima bayaran gaji paling tinggi dalam sejarah F1 apabila dia membuat keputusan untuk meninggalkan Red Bull.

Jentera baru Ferrari yang dinamakan SF15-T akan dipandu buat pertama kali oleh Vettel dalam ujian yang akan berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol Ahad ini.

Vettel mengakui yang dia akan berasa sedikit kekok apabila memandu kenderaan yang berwarna merah sepenuhnya.

Bagaimanapun Vettel meminta para peminat supaya tidak mengharapkan sesuatu yang ajaib berlaku kerana amat jelas sekali tahun lalu, hanya terdapat satu pasukan sahaja yang mendominasi litar iaitu pasukan Mercedes-Petronas.

Ketua pasukan Ferrari yang baru, Maurizio Arrivabene, yang mengantikan Marco Mattiacci November lalu, meletakkan dua sasaran untuk mereka.

"Saya hanya bersikap realistik...kami mensasarkan dua kemenangan musim ini, tidak lebih dari itu," ujarnya sambil menambah pengasas Ferrari, Enzo Ferrari pernah berkata kereta yang terbaik adalah kereta yang memenangi perlumbaan.

"Dan saya melihat kereta untuk musim baru ini adalah sebuah kereta yang seksi dan saya mempunyai keyakinan yang ia akan berjaya tidak sepertimana kereta musim lalu yang kelihatan hodoh," kata Arrivabene.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan