Sebastian Vettel Hampir Bersara Dari Formula One Tahun Lepas

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 2:11 PM

Muka moyok Vettel menceritakan segala-galanya tentang musim yang sukar sepanjang tahun lalu buat juara dunia empat kali itu.

(Ubah saiz teks)

> Bos pasukan Red Bull, Christian Horner dedahkan kenapa Vettel ingin bersara

> Sebastian Vettel menamatkan musim lalu dengan tangan kosong

> Selepas menjadi juara empat tahun berturut-turut dan menang 13 Grand Prix pada 2013 Vettel hilang selera

> Vettel kini meninggalkan Red Bull untuk sertai pasukan baru iaitu Ferrari musim ini

BEKAS bos Sebastian Vettel di Red Bull, Christian Horner mendedahkan bagaimana juara dunia empat kali itu hampir-hampir meninggalkan Formula 1 setelah merasakan dia kehilangan selera untuk kembali menang.

"Dia seperti kehilangan alat mainan yang selama ini menyeronokkannya dan pada masa yang sama dia juga telah hilang rasa cinta dengan F1 akibat perubahan yang dilakukan terhadap peraturan pemanduan tahun lalu," kata Horner.

Horner menambah, Vettel bergelut untuk bersaing dengan jentera-jentera yang lain selepas Formula 1 mengubah beberapa peraturan tahun lalu.

Antara perubahan itu ialah syarat-syarat pada enjin baru yang menyebabkan bunyi deruan dan dentuman enjin lebih senyap berbanding masa lalu, perubahan pada unit kuasa, sistem brek dan beberapa syarat teknikal yang pada pandangan Vettel tidak menyeronokkan.

"Dia juga tidak dapat menumpukan fokus apabila rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo memenangi tiga perlumbaan sepanjang tahun lalu sedangkan dia tidak sebaliknya sedang bergelut dengan sistem dan perubahan baru," ujar Horner lagi.

Kini pemandu Jerman itu telah meninggalkan Red Bull dan menyertai Ferrari.

Ferrari sepertimana Vettel juga gagal memenangi sebarang perlumbaan musim lalu iaitu yang pertama kali sejak tahun 1993.

"Dia (Vettel) berada dalam keadaan serius yang mana dia memikirkan sama ada hendak bersara atau tidak dari sukan F1. Ini kerana dia berada dalam kedudukan yang sangat cemerlang selama empat tahun berturut-turut dan apabila peraturan berubah, dia akhirnya mendapati yang dia berada di dalam sebuah kenderaan yang sangat-sangat asing baginya," ujar Horner lagi.

Menurut Horner lagi, pada satu peringkat di pertengahan musim lalu, Vettel memaksa dirinya untuk kembali ke asas dengan pergi memandu kereta go-kart bagi mengembalikan keseronokannya memandu.

Oleh hal yang demikian, Horner berpendapat, keputusan Vettel untuk berpindah pasukan bagi musim baru ini adalah sesuatu yang betul dan tepat.

"Mungkin buat permulaan sukar sikit untuk semua melihat dia memandu dalam sebuah jentera berwarna merah sepenuhnya tetapi hero masa kecilnya ialah Michael Schumacher dan Ferrari adalah sebahagian daripada Schumacher. Untuk mana-mana pemandu pun, siapa yang tidak mahu memandu untuk Ferrari - jenamanya, sejarahnya, mistiknya, semuanya adalah satu daya tarikan yang kuat dan luar biasa," kata Horner.

Walaupun Vettel gagal mengulangi kecemerlangan empat tahunnya itu bersama Red Bull tetapi pasukan tersebut masih mampu menamatkan musim lalu di belakang juara 2014, Mercedes-Petronas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan