Hamilton Yakin Lakar Lebih Banyak Kejayaan Bersama Mercedes

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 9:09 AM

(Ubah saiz teks)

ABU DHABI: Juara dunia kali kedua, Lewis Hamilton meletakkan harapan tinggi untuk bersama pasukannya, Mercedes bagi melakar lebih banyak kejayaan.

Menganggap kemenangannya pada perlumbaan penutup musim di sini minggu lalu sebagai sesuatu yang istimewa dan permulaan yang baik untuk dirinya dan pasukannya, pelumba berusia 29 tahun itu berikrar untuk menampilkan sesuatu yang lebih baik.

“Saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang sedang meningkat. Ia baru permulaan. Apa yang sedang diusahakan pasukan adalah sangat menarik dan luar biasa," katanya yang menyertai pasukan itu tahun lalu.

Hamilton memenangi gelaran dunia dengan kelebihan 67 mata selepas bersaing hebat dengan rakan sepasukan, Nico Rosberg sepanjang musim.

Dia antara tujuh pelumba pernah memenangi gelaran dunia sebanyak dua kali dan ketinggalan satu gelaran di belakang Sir Jack Brabham, Sir Jackie Stewart, Lauda, Nelson Piquet dan Ayrton Senna.

Alain Prost dan Sebastian Vettel menang empat kali manakala Juan Manuel Fangio (lima). Michael Schumacher mengetuai senarai dengan tujuh gelaran dunia.

Sambil memuji pasukannya, Hamilton berkata: “Pasukan kami mempunyai individu paling layak yang bekerja di posisi tepat. Saya dan Nico akan berusaha untuk terus melahirkan kejayaan buat pasukan.

“Kami memiliki ketua yang komited melahirkan enjin terbaik dan jurutera kami merealisasikan impian untuk menghasilkan jentera terhebat. Itulah sebabnya mengapa kami cemerlang musim ini.

“Adalah penting untuk pasukan terus meningkat dan saya yakin 100 peratus bahawa kami mampu mencapainya.”

Rosberg menandatangani kontrak lanjutan hingga hujung musim 2016 bersama Mercedes. Kontrak Hamilton pula bakal tamat hujung tahun ini.

Ketika ini dia dan pasukannya menangguhkan seketika perbincangan mengenai kontrak dan akan membincangkannya pada masa terdekat ini. 


Tags / Kata Kunci: Lewis Hamilton , Abu Dhabi , Mercedes

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan