Kornfeil Diumum Sebagai Pelumba Pasukan SIC Racing Team

Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 4:22 PM

Pengurus SIC Racing Team, Stigefelt (kiri) bersama Kornfeil pada majlis pengumuman pelumba bagi pasukan baharu itu musim depan.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pelumba Czech, Jakub Kornfeil diumumkan sebagai rakan gandingan Zulfahmi Khairuddin untuk bersama pasukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Racing Team yang bakal memulakan aksi pertama dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (Moto(GP) musim 2015.

Kornfeil,21, mula menceburi dunia permotoran sejak berusia 6 tahun dalam siri motocross, supermoto serta mini bikes dan mewakili negaranya dalam kelas 125cc pada tahun 2006.

Dia memenangi gelaran Piala Red Bull Rookie pada tahun 2009 dan mula menyertai saingan Grand Prix empat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali yang membuat pengumuman mengenai penyertaan pasukan ini pada aksi kejuaraan dunia musim depan berkata, Kornfeil merupakan pelumba yang berpengalaman.

“Walaupun umurnya masih muda, dia hadir dengan kualiti pengalaman dan sudah tentu ia akan menjadi aset penting buat pasukan.

“Saya pasti gandingannya dengan Zulfahmi akan memberi persembahan terbaik untuk barisan pelumba. Malah perlantikan Johan Stigefelt sebagai pengurus pasukan memberikan kekuatan lagi kepada pasukan untuk memberi cabaran musim depan,” jelasnya pada sidang media di Pusat Media SIC pada, Ahad.

Sementara itu, Kornfeil berkata, dia teruja menyertai Pasukan SIC. 

“Selepas lima tahun beraksi dalam Kejuaraan Dunia, saya gembira menjadi sebahagian daripada keluarga SIC Racing Team untuk musim 2015.

“Saya telah lama mengenali Johan dan telah bekerjasama sejak dua tahun kebelakangan ini, dan harapan untuk terus bersama. Jadi ia seperti mimpi menjadi kenyataan.

“Saya juga mempunyai keyakinan tinggi kepada rakan sepasukan, Zulfahmi. Saya harap kami dapat bekerjasama dan melakukan yang terbaik untuk pasukan,” jelasnya.

Tambah Kornfeil, peluang keemasan yang ditawarkan oleh Razlan dan Johan.

“Saya sememangnya tidak sabar untuk musim depan dan gembira kekal dengan jentera KTM. Saya sangat positif dan saya yakin pasukan akan mencatat keputusan yang baik 2015,” jelasnya.

Pada perlumbaan Grand Prix Malaysia pada Ahad, Kornfeil menamatkan saingan Moto3 di tempat ke-8 bersama pasukan Calvo Team.

Secara keseluruhan musim ini, Kornfeil berada di kedudukan ke-12 dengan 94 mata.

Dalam  pada itu, Stigefelt menjelaskan pasukanya sudah mempunyai rancangan penuh untuk musim depan.

“Pasukan akan memulakan ujian di Jerez November ini sebelum memulakan musim baharu.

“Ujian ini penting bagi pelumba kerana ia bagi penyesuaian diri dengan jentera KTM Moto3 yang akan digunakan musim depan,” katanya.

Tags / Kata Kunci: moto3 , SIC Racing Team , Jakub Kornfeil , Zulfahmi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan