Moto2: Hafizh Syahrin Belum Temui Rentak

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2014 8:47 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui dia masih mencari rentak pada dua sesi latihan bebas perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Jumaat.


Hafizh berkata, dia tidak berpuas hati dengan pelarasan jenteranya apabila sekadar menamatkan sesi latihan kedua di tempat ke-26 dengan masa dua minit 10.423 saat.

Sebelum itu, pada sesi latihan pertama Hafizh menduduki tempat ke-20 dengan masa2'09.340s.  

“Bukan permulaan baik dan saya mahukan lebih daripada yang ada sekarang terutamanya dari segi ‘setting’ jentera.

“Memang catatan tidak memuaskan memandangkan perbezaan dua saat dengan pendahulu.

“Aksi sebelum ini saya hanya ketinggalan lebih kurang satu saat sahaja, jadi ia memang hari yang tidak baik.

“Pun begitu saya berharap pasukan saya dapat membuat perubahan menjelang latihan bebas terakhir dan pusingan kelayakan esok (Sabtu),” katanya ketika ditemui media selepas tamat sesi latihan tersebut.

Tambah Hafizh,20, dia mempunyai keyakinan baik untuk beraksi li litar sendiri, lebih-lebih lagi dalam keadaan litar basah.

“Saya harapkan litar basah kerana selesa untuk bersaing bagi menempatkan dalam kelompok 15 terbaik pada sesi kelayakan, manakala berada dalam kumpulan 10 terbaik bagi perlumbaan,” jelasnya yang pertama kali beraksi semusim penuh tahun ini.

Pelumba kelahiran Ampang ini mempamer prestasi cemerlang dalam 16 perlumbaan apabila berada pada kedudukan ke-18 daripada 28 pelumba dengan mengutip 42 mata.    

Dalam pada itu, pada sesi latihan bebas kedua hari ini, Esteve Rabat daripada pasukan MarcVDS Racing Team mencatat masa terpantas iaitu 2'07.729s diikuti Maverick Vinales (Paginas Amarillas HP 40) dengan masa 2'08.204s dan Mika Kallio (Marc VDS Racing Team), 2'08.440s.

Tags / Kata Kunci: Hafizh Syahrin , Moto2 , MotoGP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan