Litar Kedah Jadi Hab Sukan Bermotor Wilayah Utara

Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 9:29 PM

Mukhriz Tun Mahathir (tiga, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Razlan Razali (dua, kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah, Datuk Azimi Daim (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) Litar Kedah di Litar Sepang, Khamis. Perjanjian itu turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DORNA, Carmelo Ezpeleta (tiga, kiri).

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Litar Kedah bakal menjadi hab sukan bermotor bagi wilayah utara, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu membina litar sepanjang 1.6km itu dikawasan seluas 70 hektar di Sungai Petani, dan dijangka siap menjelang 2016 atau 2017. 

Katanya kerajaan negeri juga merancang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim berhampiran Sungai Petani.

"Dengan adanya litar perlumbaan bertaraf antarabangsa, mereka yang berbakat dan berkemahiran akan mendapat banyak peluang dan tidak perlu berpindah ke Lembah Klang.

"Kami berharap litar itu merintis masa depan yang lebih cerah untuk belia melalui persekitaran perlumbaan yang lebih selamat selain membendung lumba haram," katanya kepada pemberita di Perdana Suite, Litar Antarabangsa Sepang, Khamis.

Terdahulu, Mukhriz menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai pembinaan litar itu antara Menteri Besar Diperbadankan Kedah (Kedah MB Inc) dan Sepang International Circuit (SIC).

Pengurus Besar Kedah MB Inc Dr Mahadi Mohamad dan Ketua Pegawai EksekutifSIC Datuk Razlan Razali masing-masing menandatangani MoU itu.

Turut hadir Pengerusi SIC Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sport S.L. Carmelo Ezpeleta.

Mukhriz berkata litar yang dicadangkan itu akan mengandungi trek perlumbaan, kawasan perlumbaan luaran, laluan drag, tempat duduk grandstand dan bukit, bangunan paddock serta premis kedai.

SIC, katanya, akan bertindak sebagai penasihat teknikal dan kemudian sebagai penasihat pengurusan.

"Pasukan profesional SIC akan berkongsi kepakaran mereka dengan bakat kami di Kedah.

Ia berkaitan perjalanan dan pengurusan harian litar berkenaan termasuk penyenggaran teknikal dan operasi.

"Ia meliputi inisiatif pemindahan teknologi dan pembangunan model perniagaan untuk memaksimumkan potensi litar itu," katanya.

Litar Kedah akan mendapat pengiktirafan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Tags / Kata Kunci: litar kedah , Mukhriz

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan