MotoGP: Hafizh Syahrin Idam Kejuaraan Di Litar Sepang

Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 3:35 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad merangkul kejuaraan pada perlumbaan Grand Prix Malaysia (MotoGP) di Litar Sepang hujung minggu ini.

Bersandarkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlumbaan MotoGP musim ini, pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu optimis pasukannya mampu melakar kejutan di hadapan penonton tempatan.

"Saya tidak berasa terlalu tertekan beraksi di sini, saya tahu penyokong tempatan meletakkan harapan tinggi kepada saya selepas pasukan kami mencatat keputusan membanggakan dalam beberapa perlumbaan musim ini.

"Saya berpuas hati dengan jentera pada musim ini, saya dapat menghabiskan perlumbaan di Jepun baru-baru ini di tempat kelapan," katanya pada sesi ramah mesra bersama media di sini, Selasa.

Beliau, bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan di Australia minggu lepas atas faktor kesihatan.

Hafizh, 20, pertama kali beraksi semusim penuh tahun ini, mempamer prestasi terpuji dalam 16 perlumbaan apabila berada pada kedudukan ke-18 daripada 28 pelumba dengan mengutip 42 mata.

Beliau turut mengharapkan litar basah pada aksi hujung minggu ini untuk meraih keputusan lebih cemerlang.

Untuk rekod, pelumba itu membuat kejutan dengan meraih kedudukan keempat pada 2012 menerusi tiket 'wild card' bagi kategori Moto2.

Tags / Kata Kunci: MotoGP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan