F1: Hamilton Teruja Raih Petak Pertama

Diterbitkan: Sabtu, 29 Mac 2014 10:28 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton teruja meraih petak pertama selepas bersaing dalam keadaan litar basah serta  hujan renyai pada sesi kelayakan Grand Prix Petronas Formula Satu (F1) Malaysia, Sabtu.

Kira-kira setengah jam sebelum aksi kelayakan bermula, hujan lebat membasahi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sehingga perlumbaan ditunda  hampir sejam.

Hamilton,29, mencatat 'pole' buat kali kedua berturut-turut selepas turut menguasai petak pertama pada aksi pusingan pembukaan  perlumbaan GP Australia dua minggu lalu.

"Saya sangat gembira dengan  aksi perlumbaan hari ini, lebih-lebih lagi dengan apa yang dilakukan oleh pasukan, dan ia menunjukkan segalannya berjalan lancar sepanjang minggu ini.

"Namun hari ini ada sesuatu yang luar biasa, pertamanya cuaca hujan sebelum aksi  kelayakan, dan ia sememangnya sangat sengit kepada semua pelumba.

"Pada kelayakan  ketiga, saya nyaris tidak dapat melihat apa-apa di belakang Hulkenberg.

"Saya tidak nampak keadaan litar, tidak pasti di mana selekoh  dan perlu menekan brek.

"Namun saya bernasib baik kerana dapat mengatasi Sebastian Vettel (Red Bull) dan catatan masanya begitu hampir  dengan saya, " jelasnya selepas perlumbaan.

Hamilton dan rakan sepasukannya, Nico Rosberg  yang juga juara GP Australia baru-baru ini mempamerkan aksi konsisten sepanjang sesi latihan mahupun saingan kelayakan.

Rosberg dari Jerman meraih tempat pertama pada sesi kelayakan pertama, namun berada di kedudukan ketiga pada saingan kelayakan akhir.

Sementara itu, juara dunia Vettel mengakui  pasukan Mercedes kini berada dalam prestasi terbaik.

"Mereka mempunyai pakej terbaik, melaksanakan tugas dengan sempurna.

"Jelas sekali dengan peraturan baharu ini , banyak perkara yang perlu dibuat, dan saya yakin mereka merupakan pasukan pilihan setakat ini," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Mercedes , F1 , Sepang , SIC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan