F1: Rosberg Muncul Juara Pembuka Tirai F1 GP Australia

Diterbitkan: Ahad, 16 Mac 2014 8:13 PM

Nico Rosberg

(Ubah saiz teks)

PELUMBA Formula 1 Mercedes-Petronas, Nico Rosberg memulakan musim baru 2014 dengan penuh bergaya apabila menjuarai Grand Prix Australia yang berlangsung di Melbourne, petang Ahad.

GP Australia adalah pembuka tirai F1 bagi tahun ini. Perlumbaan seterusnya adalah GP Malaysia yang akan berlangsung hujung bulan ini di Litar Sepang.

Ini adalah kemenangan yang keempat dalam karier F1 Nico. 

Walaupun rakan sepasukannya Lewis Hamilton bermula di petak hadapan tetapi Nico Rosberg yang berjaya tiba di garisan penamat dahulu selepas kereta Lewis menghadapi masalah silinder dan tidak dapat meneruskan perlumbaan sebaik sahaja lap yang ketiga.

Nico kemudiannya mengambil alih sebagai pendahulu perlumbaan dan pelumba berusia 28 tahun dari Jerman itu sampai di garisan penamat 23 saat di hadapan  Daniel Ricciardo pelumba Red Bull.

Untuk menambahkan drama pada perlumbaan pembuka tirai ini, Kevin Magnussen, pelumba berusia 21 tahun dari Denmark yang memandu buat pertama kali untuk pasukan McLaren, melengkapkan podium dengan menduduki tempat ketiga.

Ia bukan sahaja kejayaan yang bermakna buat Magnussen, tetapi juga untuk pasukannya McLaren. Tahun lalu pemandu McLaren gagal  menaiki podium sepanjang musim iaitu pencapaian terburuk mereka dalam F1 untuk tempoh 33 tahun.

Bukan sahaja Magnussen yang menunjukkan prestasi yang menakjubkan untuk McLaren malah pemandu veteran mereka, Jenson Button, berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas bermula di petak ke-10.

Juara empat tahun berturut-turut, Sebastian Vettel sepertimana musim lalu bermula lembab malah tahun ini lebih teruk dengan keretanya mengalami masalah teknikal sama sepertimana Hamilton.

Sebaik sahaja perlumbaan bermula, pemandu Caterham, Kamui Kobayashi berlaga dengan pemandu Williams, Felipe Massa menyebabkan kedua-dua mereka terkeluar daripada persaingan.

Pada masa yang sama, Hamilton tiba-tiba memperlahankan keretanya. Dari tempat pertama dia jatuh ke tempat ketiga dengan Rosberg dan Ricciardo mengambil alih persaingan untuk kedudukan pertama dan kedua.

Namun begitu apabila Magnussen pula memotong Hamilton, amat jelas sekali yang dia sedang berhadapan dengan masalah yang berat.

Sebaik sahaja masuk lap yang ketiga, kereta Hamilton masuk ke laluan pit dan tidak keluar-keluar lagi selepas itu.

Hamilton cuba menenangkan keadaan dengan berkata: "Ini hanya satu masalah kecil. Masih banyak lagi perlumbaan yang akan kami harungi. Kami akan bangkit dari kegagalan hari ini sepertimana masa-masa yang lalu."

Dan tiga lap selepas itu, giliran Vettel, 26,  pula untuk menyertai Hamilton sebagai penonton selepas kereta  Red Bullnya pula buat hal.

Vettel mendakwa keretanya sudah diselubungi masalah ketiadaan kuasa untuk memecut sehinggalah seorang demi seorang pelumba memotongnya.

Selepas itu dua pelumba lagi, pemandu Caterham, Marcus Ericsson dan  pemandu Lotus, Pastor Maldonado turut menghadapi masalah enjin dan terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.

Keseluruhannya hanya 14 pelumba sahaja berjaya menamatkan perlumbaan. 
Tags / Kata Kunci: Nico Rosberg , f1 , formula 1 , australia , Mercedes

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan