Tuah Zaqhwan Dapat Beraksi Acara Moto2

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Mohd Zaqhwan Zaidi bakal menghangatkan lagi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini selepas terpilih beraksi pada Grand Prix Malaysia Shell Advance (motoGP) bagi kategori Moto2.

Masih terkejut dengan tawaran itu, Zaqhwan akan beraksi buat kali pertama di pentas kejuaraan dunia ini.

Zaqhwan,18, dipilih oleh pasukan Technomag- Carxpert untuk menggantikan pelumba mereka, Randy Krummenacher yang mengalami kecederaan.

Peluang ini hadir setelah prinsipal Technomag- Carxpert, Fred Corminboeuf menghubungi bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini memandangkan dia sendiri mengikuti perkembangan Yuzy yang sebelum ini bertanggungjawab mengenalpasti bakat dan membimbing Zulfahmi Khairudin bagi mendapatkan pengganti yang sesuai dijadikan pelumba kedua mereka.

Juara Suzuka 4-Hour Endurance 2012 ini merupakan pelumba bagi pasukan Givi Honda Yuzy di dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan Musashi Boon Siew Honda Racing di Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC).

"Sudah tentu saya masih terkejut dengan berita ini. Pada Rabu baharu khabar ini disampaikan. Bukan sahaja saya, malah keluarga sendiri pun seperti tidak percaya.

"Selepas dibawa berjumpa dengan pasukan, baharulah keluarga percaya yang saya akan beraksi pada motoGP.

"Pada Jumaat, saya akan mencuba jentera baharu dan sudah tentu perasaan gugup serta teruja bermain di fikiran saya," jelasnya kepada media selepas majlis pengenalan kepada pasukan.

Zaqhwan berkata, peluang ini amat bermakna dan akan menggunakannya sebaik mungkin.

"Saya orang baharu di kejohanan dunia ini berbanding dengan dua lagi pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Hafizh Syahrin.

"Tetapi itu bukan alasan untuk tidak mencuba yang maksimum. Jika saya mampu berada di depan Azlan, itu sudah cukup baik buat saya.

"Dalam masa sama juga, saya teruja kerana dapat berlumba dengan pelumba terbaik kategori ini seperti Pol Espargo ( Tuenti HP 40) serta Scott Reddin (Marc VDS Racing Team) yang kini berada di tempat pertama keseluruhan," jelas pelumba kelahiran Kajang, Selangor ini.

Zaqhwan menyertai lima lagi pelumba negara termasuk Azlan Shah Kamaruzaman, pelumba wildcard Hafizh Syahrin Abdullah, Zulfahmi Khairuddin, Amirul Hafiq dan Husni Aizat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan