F1 Sambung Semula Di GP Belgium Selepas Berehat Seketika

Diterbitkan: Jumaat, 23 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CUTI musim panas telah berlalu dan Ahad ini seluruh mata akan tertumpu semula kepada perlumbaan edisi ke-11 Formula Satu musim ini yang akan berlangsung di Belgium.

Penyandang juara dunia, Sebastian Vettel akan memulakan separuh kedua musim ini dengan kelebihan 38 mata di hadapan pelumba yang lain tetapi pelumba Red Bull itu sedia maklum yang musim ini merupakan musim di mana tiada siapa yang berada di kedudukan yang selesa.

Malah pelumba Ferrari, Fernando Alonso tiba di Belgium 12 bulan yang lalu dalam kedudukan yang amat selesa dan mendahului pelumba yang lain dari segi pungutan mata tetapi tetap berakhir dengan Vettel muncul sebagai juara dunia.

Kali ini Kimi Raikkonen dari Lotus dan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton turut mengikuti rapat di belakang Alonso dan juga Vettel dengan Raikkonen telah memenangi empat kali sebelum ini di GP Belgium.

Hamilton - yang memenangi perlumbaan sebelum ini di Hungary - kelihatan sudah mencapai tahap prestasi puncak tepat pada masanya.

Pada jarak 7.004km, Spa adalah sirkit yang terpanjang dalam kalender F1 musim ini. Ia juga adalah salah satu sirkit terpantas dengan kelajuan purata boleh mencapai lebih 140 batu sejam.

Jarak keseluruhan perlumbaan 44 pusingan ini ialah 308.052km. F1 pertama kali diadakan di sirkit ini pada 1950

Juara tahun lalu ialah Jenson Button yang juga merupakan peserta petak pertama.

Manakala rekod terpantas di sirkit ini disandang oleh Sebastian Vettel dengan kepantasan 1:47.263 yang dicipta pada tahun 2009.

Sirkit yang dikenali dengan panggilan Spa ini juga popular kerana pemandangannya yang cantik dikelilingi oleh hutan dan ladang yang menghijau.

Tags / Kata Kunci: F1 , GP Belgium

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan