Penunggang Touchline SIC Ajo Racing Team Sedia Gegar Litar Sepanyol

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua penunggang Malaysia kini bersiap sedia untuk menjulang nama negara pada pusingan pembukaan Perlumbaan CEV Repsol Sepanyol di Litar Catalunya di Barcelona, Sepanyol pada 28 April.

Dalam kenyataan pada Khamis, penunggang pasukan yang baru ditubuhkan itu Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik berkata mereka menanti-nantikan perlumbaan itu untuk menguji kemahiran mereka bersaing dengan beberapa penunggang handalan dunia dalam kelas Moto3.

"Menunggang pada perlumbaan itu di Sepanyol pada hujung minggu ini memberi pengalaman dan peluang yang sama sekali baharu bagi saya untuk mencuba gelanggang dan motosikal baharu. Kami berusaha keras untuk membiasakan diri dengan jentera KTM," kata Amirul Hafiq, yang bercita-cita menjadi penunggang sepenuh musim Perlumbaan MotoGP Dunia.

"Ringkasnya, misi saya ialah untuk menjadi penunggang musim penuh Perlumbaan MotoGP Dunia. Kata pasukan ini, kami boleh berlumba dalam pusingan terpilih melalui tiket wildcard jika kami mempamerkan prestasi baik," katanya.

Penunggang berusia 16 tahun ini telah menyertai perlumbaan Red Bull Rookies Cup sejak dua musim lepas. Berbeza dengan Amirul Hafiq, perlumbaan di Sepanyol ini merupakan perlumbaan antarabangsa pertama bagi Husni Aizat, 19, yang mendapat peluang itu setelah mempamerkan prestasi cemerlang pada perlumbaan sulung Piala SIC 250 Ninja tahun lepas.

"Ia sesuatu yang benar-benar berbeza. Saya merasai perbezaannya. Bagi saya, perkara paling penting ialah membiasakan diri dengan cuaca di Eropah dan motosikal KTM.

"Kedua-dua penunggang ini lahir daripada Projek Malaysia SIC, program yang bertujuan melahirkan lebih ramai penunggang tempatan untuk beraksi di peringkat antarabangsa, setelah kejayaannya melatih Muhammad Zulfahmi Khairuddin hingga menjadi penunggang bertaraf dunia," katanya.

Perlumbaan CEV Repsol Sepanyol 2013 akan diadakan dalam tujuh pusingan, dari 28 April hingga 24 November. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan