ARRC: Zamri Sedia Hadapi Cabaran Pusingan Akhir

Diterbitkan: Isnin, 19 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zamri (tengah) sedia hadapi cabaran pusingan akhir ARRC di Litar Losail minggu depan.
Zamri (tengah) sedia hadapi cabaran pusingan akhir ARRC di Litar Losail minggu depan.

SASARAN pelumba Malaysia, Mohd Zamri Baba untuk mempertahankan kedudukan tiga terbaik dalam kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dilihat semakin mencabar apabila peraturan baru penggunaan tayar akan diperkenalkan pada pusingan akhir di Litar Antarabangsa Losail, Doha, Qatar, pada 22 hingga 24 November ini.

Peraturan penggunaan satu jenis tayar dalam siri perlumbaan Asia yang membenarkan setiap pelumba menggunakan maksimum enam pasang tayar Dunlop SPORTMAX GP UNBEATEN sepanjang minggu perlumbaan masih lagi dikekalkan.

Cuma, dengan peraturan baru yang diperkenalkan ini, pelumba bebas memilih untuk menggunakan tayar hadapan sama ada dari jenis kompaun lembut ataupun kompaun keras berbanding hanya satu jenis kompaun tayar sahaja yang dibenarkan sebelum ini.

"Peraturan baru ini bukan sesuatu yang asing bagi pelumba-pelumba handalan dalam kejuaraan ini, cuma bagi pelumba-pelumba muda, ia mungkin sesuatu yang baru.

"Namun ini sesuatu yang cukup positif kerana pasukan-pasukan dan pelumba dapat belajar bagaimana untuk mendapatkan pelarasan sesuai bergantung kepada jenis tayar yang digunakan.

"Perkembangan ini juga baik untuk masa akan datang terutama bagi pelumba-pelumba yang mahu melangkah ke peringkat antarabangsa,” kata pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha yang kini berada di tempat ketiga keseluruhan di belakang dua pelumba bertaraf dunia, Katsuaki Fujiwara dan Ryuichi Kiyonari.

Pada masa sama, Zamri percaya peraturan baru ini akan memberikan sedikit kelebihan kepadanya.

"Sudah tentu seluruh pasukan kini perlu bekerja lebih keras di Qatar bagi mendapatkan kombinasi yang sesuai bergantung kepada keadaan cuaca di litar, keupayaan enjin dan juga corak perlumbaan pelumba itu sendiri.

Namun dengan pengalaman menyertai pelbagai jenis perlumbaan di peringkat antarabangsa, saya yakin untuk mendapatkan kombinasi yang tepat dengan segera.

"Tambahan pula, saya sememangnya menggunakan tayar Dunlop dalam setiap kejuaraan yang disertai termasuklah Kejuaraan All-Japan dan juga wildcard MotoGP.

"Saya sudah biasa dengan karakter tayar ini dan berharap ia akan memberikan kelebihan kepada saya minggu ini,” jelas Zamri.

Peraturan baru ini dilihat membawa satu dimensi baru terhadap corak perlumbaan dalam kejuaraan Asia ini.

Sebagai contoh, pelumba-pelumba kini akan melakukan pemilihan sama ada akan menggunakan tayar lembut bagi mengawal rentak perlumbaan ataupun mungkin ada yang akan memilih penggunaan tayar keras supaya dapat beraksi secara lebih agresif terutama untuk merapatkan kedudukan.

Selain itu, pelumba juga mungkin akan membuat pilihan yang sama bagi Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 ataupun mungkin ada yang memilih kombinasi berbeza pada setiap sesi perlumbaan.

Pasukan yang membuat pilihan tepat dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi perlumbaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan