MotoGP: Zulfahmi Akhiri Musim 2012 Dengan Podium Kedua Di Valencia

Diterbitkan: Isnin, 12 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, mengakhiri musim MotoGP Dunia 2012 dengan penuh bergaya selepas menaiki podium buat kali kedua pada Grand Prix Valencia di Sepanyol, Ahad.

Pelumba sensasi pasukan AirASia-SIC-Ajo, yang memulakan perlumbaan ke petak ke-17, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan hanya ketinggalan 0.114 saat di belakang juara Danny Kent daripada pasukan Red Bull Ajo.

Kent, pelumba Britain, mencatatkan masa 45 minit 5.891 saat.

Manakala juara dunia baru Moto3, Sandro Cortese dari Jerman, yang juga rakan sepasukan Kent, menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 0.056s.

Muhammad Zulfahmi, yang baru memenangi anugerah 'Pelumba Kelas Moto3 Paling Meningkat 2012', berkata keputusan tersebut sukar dipercayai kerana terpaksa mengharungi keadaan sukar pada sesi latihan bebas Jumaat lepas dan sesi kelayakan semalam.

"Bermula dari petak ke-17 dan mengakhiri di tempat ketiga merupakan keputusan hebat...saya tidak boleh percaya bahawa saya berjaya menaiki podium. Saya amat bangga untuk memenangi podium kedua dalam karier perlumbaan," kata Muhammad Zulfahmi dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Sepang International Circuit (SIC) di sini.

"Saya tidak sabar untuk saingan tahun depan dan ia akan menjadi lebih berdaya saing tetapi saya akan bersedia," kata pelumba berusia 21 tahun yang menduduki tempat kedua pada MotoGP Grand Prix Malaysia 2012 di Sepang, bulan lepas.

"Saya juga berasa begitu gembira apabila mengetahui SIC, promoter MotoGP Grand Prix Malaysia, memenangi anugerah 'Acara MotoGP Terbaik 2012'," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan