Zulfahmi Positif Di San Marino

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Muhammad Zulfahmi Khairuddin
Muhammad Zulfahmi Khairuddin

Zulfahmi yang pulang berehat selama seminggu ke Malaysia baru-baru ini berkata, dia berazam untuk memperbaiki kedudukan di dalam kategori Moto3 setelah beliau tidak berjaya menamatkan perlumbaan di Litar Brno pada 26 Ogos yang lalu selepas terjatuh apabila perlumbaan berbaki lima pusingan.

Dia yang kini berada di tangga ketujuh keseluruhan berkata, “Saya bersyukur apabila tidak mengalami sebarang kecederaan di Brno dan masih berpeluang untuk meneruskan perlumbaan seperti biasa.”

Kini Zulfahmi berjaya mengumpul 76 mata keseluruhan, ketinggalan 5 mata di belakang Alexis Masbou, penunggang Perancis dari pasukan Caretta Technology.

“Saya berharap jentera KTM saya berada di tahap yang baik bagi membolehkan saya meneruskan misi untuk menambah pungutan mata untuk mengukuhkan kedudukan saya.

"Selain daripada itu, saya juga mengharapkan agar jentera saya tidak akan menghadapi sebarang masalah teknikal pada hari perlumbaan,” katanya.

Zulfahmi perlu menghadapi dua lagi perlumbaan iaitu Grand Prix Aragon, Sepanyol pada 30 September dan Grand Prix Jepun pada 14 Oktober sebelum pulang ke Malaysia bagi menghadapi Grand Prix Malaysia pada 21 Oktober depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, pihak penaja, media dan rakyat Malaysia yang tidak henti memberi sokongan kepada saya selama ini," tambah Zulfahmi lagi.

Kejohanan Moto3 kini didahului oleh Sandro Cortese dengan pungutan 200 mata sementara Maverick Vinales berada di tempat kedua dengan ketinggalan 32 mata di belakang Cortese. Luis Salom pula berada di tangga ketiga dengan ketinggalan 19 mata di belakang Vinales.

Perlumbaan ke-12 Kejohanan Moto3 pada kali ini bakal berlangsung Ahad ini di Litar Misano yang mempunyai 16 selekoh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan