Nabil Catat Sejarah Di Litar Paul Ricard

Diterbitkan: Rabu, 4 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nabil (tengah) mengungguli Pusingan 5 JK Racing Asia Series.
Nabil (tengah) mengungguli Pusingan 5 JK Racing Asia Series.

LITAR Paul Ricard menjadi gelanggang bertuah kepada pemandu muda negara Nabil Jeffri, yang mencatat sejarah peribadi menjadi pelumba Malaysia pertama mencipta kemenangan Pusingan 5 saingan single-seater JK Racing Asia Series.

Kemenangan berkenaan turut membantu pemandu pasukan Eurointernational melonjakkan diri ke persada kejuaraan sekali gus meletakkan ikon belia negara itu di landasan tepat merealisasikan sasaran untuk muncul juara keseluruhan.

"Tentunya, saya amat gembira untuk menjadi pemandu negara pertama yang mencatat kemenangan di Paul Ricard.

"Ia adalah litar yang kaya dengan sejarah dan tradisi dan cukup glamour. Nama-nama lagenda F1 seperti Alain Prost, Nigel Mansell, Niki Lauda dan Jackie Stewart cukup sinomin dengan kejayaan di litar ini.

"Kini, saya boleh katakan bahawa saya juga pernah berdiri di tempat pemenang di podium; dan meraikan kemenangan dengan alunan lagu kebangsaan Negaraku … tentunya, detik yang cukup hebat untuk saya dan keluarga saya yang berada di litar ketika itu," kata Nabil, yang kini mengutip 97 mata untuk mendahului saingan terdekat beliau, Aston Hare dengan kelebihan tujuh mata.

Grand Prix Perancis 1990 itu adalah perlumbaan F1 terakhir yang diadakan di Litar Paul Ricard, litar penuh teknikal yang kini dibangunkan semula sebagai gelanggang ujian rasmi untuk pasukan-pasukan F1.

“Saya memang tidak sabar menunggu saingan di Spa. Bukan saja kerana kejayaan di Paul Ricard; tetapi kerana Spa sememangnya litar kegemaran saya. Saya yakin dapat beraksi dengan lebih baik dan lebih pantas lagi di Spa nanti.

"Saya benar-benar yakin dengan prestasi saya di sana,” kata Nabil, yang menamatkan perlumbaan dengan hanya 0.143 saat di belakang rakan senegara Afiq Yazid pada Pusingan 6 dan perlumbaan kedua di Litar Paul Ricard.

Pemandu Meritus itu menamatkan perlumbaan 1 di tempat kesembilan selepas dikenakan penalti ‘drive-through’.

Mengimbas kembali kemenangan bersejarah beliau pada Perlumbaan 1, Nabil, yang memandu jentera bernombor 1 dan bermula daripada petak ketiga dalam grid di belakang Afiq dan Aston, berkata bahawa dia mempunyai permulaan yang baik, yang meletakkan beliau di tempat ketiga pada selekoh pertama.

"Sememangnya, Ron adalah rakan sepasukan saya; tetapi di litar, dia adalah pencabar saya, ia adalah saingan yang cukup menyeronokkan,” kata Nabil.

Litar Spa akan menjadi hos kepada saingan Pusingan 7 dan 8 sebelum diikuti dengan Pusingan 9 dan 10 di Singapura daripada 21 hingga 29 September.

Enam pusingan akhir akan diadakan di New Delhi, India dengan Pusingan 11 dan 12, yang akan diadakan 26 hingga 28 Oktober, dan Pusingan 13, 14, 15 dan 16 daripada 30 November hingga 2 Disember.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan