Alex Yoong Berlumba Untuk Audi Di Nurburgring Hujung Minggu Ini

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pemandu Formula One (F1) Malaysia, Alex Yoong mensasarkan kedudukan 10 terbaik pada penyertaan sulungnya di perlumbaan 24 jam Nurburgring di Jerman hujung minggu ini, walaupun kemungkinan berdepan cuaca buruk.

Pelumba tunggal Malaysia berusia 35 tahun itu, akan berlumba untuk Audi Race Experience, salah sebuah daripada tujuh kereta keluaran kilang Audi dalam GT3 (Divisyen 1) dengan kira-kira 70 kereta dalam kelas itu.

Dalam kenyataan di sini Khamis, beliau berkata: "Ia akan menjadi hujung minggu yang menarik dan saya tidak sabar tetapi keadaan cuaca sudah pasti menjadi faktor penentu.

"Litar itu mempunyai selekoh yang sukar dan sangat susah untuk menyesuaikannya. Ada beberapa bahagian di trek itu yang sentiasa basah dan berubah sepanjang masa. Secara peribadi, litar itu adalah yang terbaik di dunia tetapi pada masa sama sangat bahaya," kata Alex.

Bagi musim 2012, perlumbaan 24 jam Nurburgring hanya terhad kepada maksimum 190 penyertaan iaitu kurang 60 daripada tahun lepas. Perlumbaan itu akan bermula dalam tiga kumpulan dengan maksimum 70 kereta. Setiap penyertaan perlu mempunyai antara dua dan empat pelumba. Para pelumba mungkin memandu lebih daripada sebuah kereta dengan maksimum dua buah.

Semua pelumba dibenarkan untuk memandu selama tiga jam bagi setiap sesi termasuk bagi mengisi minyak. Setiap pelumba dikehendaki berehat minimum dua jam sama ada mereka memandu sebuah atau dua buah kereta.

Alex akan bergandingan dengan Luca Cappellari, Florian Gruber dan Warren Luff pada perlumbaan itu.

"Saya pernah berlumba bersama Cappellari dan Gruber pada perlumbaan enam jam VLN tahun lepas yang mana kami menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dalam kalangan 130 kereta yang mengambil bahagian. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka lagi," katanya.

Alex kini mendahului kedudukan dalam senarai pelumba pada Piala Audi R8 LMS selepas memenangi perlumbaan Pusingan Pertama di Litar Antarabangsa Shanghai pada 29 April lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan