MNCF Serah Nama Lima Pelumba Acara Lebuh Raya Kepada MOM

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) menyerahkan nama lima pelumba bagi mengisi dua slot acara lepas beramai-ramai pada Sukan Olimpik London kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MNCF Abu Samah Abdul Wahab berkata lima nama tersebut ialah Mohd Adiq Hussainie Othman, Mohd Harrif Salleh dari Champion System dan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh (TSG), Anuar Manan (Champion System) dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team).

Daripada lima pelumba itu, katanya pemilihan akhir dua nama ke London akan dilakukan pada hujung Mei nanti, tertakluk kepada prestasi dan situasi kesihatan terkini mereka.

"Kita serahkan nama lima pelumba kepada MOM bagi memudahkan mereka terus ke London seandainya terpilih kerana kad akreditasi sebagai pelumba sudah pun diserahkan kepada MOM. Jadi kita boleh pilih mana-mana pelumba daripada lima nama tersebut.

"Saya percaya keputusan akhir akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Pemilihan setelah mengadakan perbincangan panjang bersama Majlis Sukan Negara dan John Beasley (Ketua Jurulatih Negara)," katanya dalam kenyataan, di sini, Isnin.

"Setakat ini, ramai yang beranggapan Mohd Adiq Hussainie dan Mohd Harrif adalah calon terbaik untuk dihantar ke Sukan Olimpik, jadi kita akan pantau prestasi mereka di Tour of Thailand, Tour of Korea dan Kejohanan Trek Sedunia di Melbourne, Australia," katanya.

Abu Samah, yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC), menegaskan pihaknya masih menunggu jadual dan program latihan komprehensif melibatkan Mohd Adiq Hussainie.

"Kami dimaklumkan Mohd Adiq Hussainie akan ke Amerika Syarikat pada pertengahan April ini tetapi kita telah tetapkan dua kejohanan iaitu Tour of Thailand dan Tour of Korea sebagai latihan pemanas badan sebelum ke London.

"Manakala Mohd Harrif tidak akan ke Thailand sebaliknya akan menyertai acara perlumbaan scratch di Kejohanan Trek Sedunia di Melbourne," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan