Button 'Takut' Berlumba Dalam Hujan

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pemenang musim pembukaan Formula One, Jenson Button dari pasukan McLaren Mercedes, menyuarakan rasa bimbang sekiranya hujan pada hari perlumbaan Grand Prix Formula One Malaysia Petronas di Litar Sepang Ahad ini.

"Ia jauh berbeza berbanding dengan hujung minggu lepas. Litar ini amat laju dan meluncur dan ia amat lancar berbanding dengan litar jalanan.

"Dan ia merupakan satu daripada tempat yang anda tidak boleh ramal keadaan cuacanya yang boleh berubah dengan tiba-tiba.

"Semasa saya menang di sini sebelum ini, perlumbaan dipendekkan kerana "bendera merah".

"Di sini keadaan amat berbeza, biasanya bukan sekadar hujan tetapi hujan mencurah-curah.

"Jadi sekiranya hujan pada hujung minggu ini, kami berharap kami dapat meneruskan perlumbaan kerana ini litar yang hebat," kata Button pada sidang media untuk pelumba terpilih FIA di sini Khamis.

Pada 2009, Button memenangi F1 Malaysia selepas perlumbaan dihentikan pada pusingan ke-31 daripada perlumbaan 56 pusingan akibat hujan lebat, kilat dan litar dipenuhi air.

Tahun ini, walaupun Button telah diisytiharkan pemenang, beliau hanya menerima separuh daripada 10 mata yang biasanya diberikan kepada pemenang.

Hari ini, hujan lebat mengakibatkan Litar Sepang digenangi air pada tengah hari semasa kebanyakan pelumba tiba di litar.

Ujian bebas rasmi bermula 10 pagi Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan