Berlumba Di Sepang Kekal Jadi Episod Sedih Bagi Alonso

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kemalangan maut membabitkan pelumba pasukan San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli pada MotoGP Malaysia Oktober lepas akan kekal menjadi episod sedih bagi pemandu Ferrari, Fernando Alonso apabila berlumba pada Grand Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang hujung minggu ini.

Alonso berkata perlumbaan F1 di Sepang tahun ini akan menjadi edisi 'perlumbaan yang sedih' baginya berikutan kemalangan ngeri yang menyebabkan rakannya Simoncelli terbunuh setelah dilanggar oleh pemandu Monster Yamaha Tech 3 Colin Edwards dan pemandu Pasukan Ducati Valentino Rossi di selekoh 11.

"Selepas kemalangan Marco (Simoncelli) tahun lepas, berlumba di sini pasti sentiasa akan menjadi sesuatu yang menyedihkan sedikit, mengetahui bahawa seorang daripada rakan kami mati di sini.

"Kami mengambil gambar petang ini, Felipe Massa dan anggota pasukan di selekoh 11, di mana kemalangan itu berlaku dan saya rasa itu akan menjadi kenangan untuknya dan seluruh keluarga Ferrari," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Pelumba Sepanyol itu berkata beliau berharap pasukan Ferrari akan mencapai matlamat mereka dan sekali lagi berada di hadapan.

"Jelas sekali sasaran ialah untuk memenangi kejohanan dunia tetapi ia tidak boleh dilakukan untuk dua tahun lepas. Tahun ini kami yakin kami akan berjuang untuk itu. Di Australia, dengan permulaan yang baik dan strategi, anda boleh meletakkan diri anda di tempat yang selayaknya.

"Kami akan cuba untuk melakukan perkara yang sama di sini dan cuba untuk mempertahankan sebanyak mana mata yang boleh dan tetap fokus kerana kami lihat kesungguhan yang tinggi dalam pasukan," katanya.

Alonso berada di tempat kelima di belakang pemandu Red Bull Racing-Renault Mark Webber dan pemandu McLaren Mercedes, Lewis Hamilton yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Grand Prix Australia di Melbourne minggu lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan