Cub Prix 2012: Peserta Persendirian Perlu Daftar Segera

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kategori Persendirian semakin mendapat sambutan setiap tahun.
Kategori Persendirian semakin mendapat sambutan setiap tahun.

KURANG tiga minggu lagi pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 akan berlangsung dan sudah pasti kontinjen Cub Prix tidak sabar untuk bergerak ke Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, iaitu gelanggang pembuka musim tahun 2012 pada 31 Mac dan 1 April ini.

Menjelang perlumbaan pertama ini, pendaftaran kategori Persendirian sudah mula dibuka dan mereka yang berminat perlu mendaftarkan nama dengan segera kepada Promoter Acara, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM).

Selepas berlangsung selama tiga tahun berturut-turut, kategori yang dianjurkan mengikut kemampuan pelumba-pelumba di lihat semakin mendapat tempat di kalangan peminat-peminat sukan pemotoran tanah air.

Jelas sekali peserta kategori ini dilihat berada di landasan tepat apabila terdapat diantara mereka yang kini terpilih untuk beraksi bersama pasukan profesional.

Jadi berita baik buat pelumba-pelumba, SAM turut mengekalkan peraturan teknikal sedia ada bagi memastikan kos perlumbaan setiap pelumba kekal munasabah di samping mahu melihat kategori ini terus berkembang dan mendapat penyertaan menggalakkan.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg amat berpuas hati dengan peningktan yang ditunjukan setiap tahun.

"Pengenalan dua sesi perlumbaan Persendirian yang membenarkan 48 pelumba berada di atas grid tahun lalu menjadi tanda aras baru kepada kategori ini.

"Peningkatan ketara ditunjukkan apabila 90 pelumba keseluruhan menyertai kategori ini berbanding hanya 47 pelumba pada 2010.

“Sewaktu kami memulakan kategori ini, tujuannya adalah untuk melihat ada diantaranya dapat membuktikan bakat mereka juga setanding dengan pelumba-pelumba kategori lain.

"Ia terbukti apabila ada diantaranya kini dapat beraksi bersama pasukan-pasukan ternama.

"Misalnya, naib juara 2011, Abdul Fhahmin Mutalib dan peserta tahun 2010, Mohd Syawal Mohd Noor kini mewakili PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline.

"Wan Mohd Hadri Wan Mukthar yang turut beraksi pada musim 2010 pula akan membawa cabaran Pachie Yuzy Honda Racing musim ini," jelas Ron.

Ron turut menyatakan saingan musim ini pasti berbeza memandangkan tiga pelumba terbaik keseluruhan 2011, di mana juara, Wazir Abdul Razak diikuti Abdul Fhahmin Mutalib dan Ang Beng Seang tidak lagi dibenarkan beraksi pada musim 2012.

"Bagi memastikan saingan lebih adil dan bertambah sengit, Wazir, Fhahmin dan Ang akan beralih ke kategori lain, jadi pelumba-pelumba Persendirian tidak perlu bimbang mengenainya.

"Apa yang penting adalah untuk membuat pendaftaran dengan segera kerana penyertaan hanya dihadkan kepada 48 pelumba terawal sahaja," katanya.

Pendaftaran terbuka kepada pelumba berumur diantara 17 hingga 45 tahun yang memiliki lesen perlumbaan kelas ‘C’ yang dikeluarkan oleh AAM/MAM sahaja.

Penyertaan berdasarkan siapa yang membuat pendaftaran terawal dengan yuran penyertaan berjumlah RM100.

Tarikh tutup penyertaan pada 26 Mac (Isnin). Kepada yang berminat, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 pada waktu pejabat untuk membuat pendaftaran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan