Hamilton Perlu Fokus Jika Mahu Terus Bersama McLaren: Ecclestone

Diterbitkan: Jumaat, 24 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ecclestone beri amaran kepada Hamilton supaya perbaiki aksi musim ini.
Ecclestone beri amaran kepada Hamilton supaya perbaiki aksi musim ini.

BOS Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone membuat pandangan terbuka bahawa pelumba McLaren, Lewis Hamilton akan dibuang sekiranya dia mengulangi aksi hambar seperti musim lalu.

Tahun 2011 merupakan tahun terburuk Hamilton sepanjang kariernya dalam F1 dengan menamatkan kedudukan keseluruhan di tangga kelima walaupun McLaren merupakan jentera kedua terbaik.

Kontraknya bersama McLaren akan tamat tahun ini, namun dia positif mengenaikan prestasi 2012 berdasarkan ujian pra musim dua hari di Sepanyol minggu lalu.

“Jika dia tidak mempamerkan aksi baik tahun ini, dia terpaksa meninggalkan pasukan tersebut. Mungkin semua orang dalam pasukan juga mahu melihat dia tinggalkan pasukan ini. Dan saya sangsi mengenai kariernya bersama McLaren,” katanya.

Ecclestone turut mengkritik tindakan Hamilton yang melantik agensi Simon Fuller Entertainment untuk menguruskan kariernya yang mana agensi ini turut menjaga David Beckam dan Andy Murray.

“Saya tidak bersetuju dengan orang yang mengurusnya. Dia tidak perlu pengurusan sebegitu.

“Dia perlukan orang yang sama dengannya dan tahu kerjanya. Mereka itu tidak tahu langsung mengenai isu teknikal.

"Dia perlukan orang yang tahu mengenai masalah apabila dia bercakap. Ayah dia adalah orang yang paling sesuai menguruskan tugas ini.

“Saya telah bercakap dengan Lewis sebelum ini. Saya rasa dia perlukan lebih fokus musim ini,” katanya.

Sementara itu Ecclestone turut ingin melihat bekas juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher memandu untuk Red Bull.

Schumacher,43, dilihat kecewa bersama Mercerdes sejak dia kembali berlumba dua tahun lalu.

“Saya mahu melihat dia dengan jentera yang bagus. Saya lebih suka Schumacher menjadi pemandu kedua Red Bull. Saya tidak fikir Sebastian Vettel tidak bersetuju.

“Ia sesuatu yang menarik apabila melihat dia bersama kereta yang sempurna, dan sekiranya dia masih tidak berjaya itu adalah salah sendiri bukan kereta. Dia masih ada peluang untuk menang,” katanya.

Tags / Kata Kunci: Bernie Ecclestone , McLaren , Lewis Hamilton

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan