Zulfahmi Sasar Kelompok 15 Terbaik Di Sepang

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pelumba MotoGP 125cc negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik pada aksi Grand Prix MotoGP Shell Advance Malaysia yang bakal membuka tirainya pada 21 hingga 23 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Zulfahmi yang beraksi bersama pasukan Air Asia-SIC-Ajo telah mengutip 21 mata dari 15 perlumbaan yang disertai tahun ini, menyifatkan aksi di SIC tahun ini amat bermakna, lebih-lebih dia bakal menyambut kelahirannya pada 20 Oktober ini.

Aksi di Sepang tahun lalu, Zulfahmi berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

"Sempena hari lahir saya nanti, saya akan cuba melakukan yang terbaik. Berdasarkan aksi sepanjang musim ini, saya menyasarkan untuk berada dalam kumpulan 15 terbaik dan mencatat masa yang lebih baik pada sesi kelayakan nanti.

"Ini perlumbaan kedua terakhir bagi musim 2011 dan saya juga sasar untuk meraih kedudukan yang sama keseluruhan pada tahun kedua pembabitan dalam MotoGP ini.

"Selain itu, saya turut berbangga kerana peminat-peminat MotoGP tanah air akan menyaksikan seorang lagi rakan pelumba yang akan bersaing dalam kategori ini selain dua dalam aksi Moto2," katanya kepada media, Selasa.

Tiga pelumba negara yang turut layak secara wild card untuk beraksi pada tahun ini termasuk Muhammad Farid Badrul Hisam (125cc), Mohd Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah dalam kategori Moto2.

Dalam pada itu, Zulfahmi dan pasukannya turut menerima tajaan daripada syarikat pengeluar dan pengedar barangan motosikal tempatan, Faito berupa topi keledar dan bekas minuman untuk digunakan pada perlumbaan nanti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, musim kedua penglibatan Zulfahmi menyaksikan peningkatan yang memberangsangkan dengan mengutip 21 mata setakat ini sekali gus meletakkannya di kedudukan ke-18 keseluruhan.

"Saya harap Zulfahmi tidak ada tekanan dan mampu memberi persembahan terbaiknya. Saya percaya seluruh peminat motosikal tanah air teruja untuk melihat aksinya dan tiga lagi pelumba negara," katanya.

Selain itu, Razlan turut berpuas hati dengan perjalanan penjualan tiket sehingga hari ini selepas beberapa tempat duduk telah habis dijual.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan