Cub Prix: Mohd Adib Tekad Gegar Kluang

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas meraih kejayaan pertama untuk musim ini, pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adib Rosley, kini tekad dan yakin memulakan cabaran ketujuh Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Kluang, Johor, pada 25 September ini.

Pada saingan pusingan keenam perlumbaan itu, Mohd Adib muncul juara bagi kategori Wira pada perlumbaan di Alor Star, Kedah pada 23 Julai lepas.

Menurut kenyataan pada Ahad, Mohd Adib, 17, dijangka mempertahankan gelarannya untuk pusingan ketujuh nanti dan akan mendapat tentangan daripada pendahulu kedudukan keseluruhan kategori Wira, Zulsyafiz Rosli dari pasukan MOS Malaysia Racing.

Beliau kini ketinggalan 28 mata daripada pendahulu, Zulsyafiz dengan 109 mata serta diekori rapat oleh Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) di kedudukan ketiga dengan 80 mata.

"Kepuasan menang tidak dapat digambarkan memandangkan saya gagal mengecapi sebarang kejayaan sejak awal musim lagi. Sebagai juara bertahan (saingan keenam), sudah tentu saya mahu pertahankan kejayaan ini.

"Tidak dapat dinafikan semua pelumba mahu mencapai kemenangan di Kluang nanti, namun apa yang penting bagi diri saya adalah untuk menjejakkan kaki di atas podium," kata Mohd Adib.

Beliau tidak menafikan berdasarkan pengalaman perlumbaan di Kluang pada tahun lepas dan 2009, pelumba itu pernah terbabas dan sekali lagi pada 2010 jenteranya mengalami masalah teknikal ketika beraksi pada peringkat akhir.

Mohd Adib yakin bahawa peluang untuk bergelar juara keseluruhan masih terbuka dan tidak akan menyerah kalah kerana masih ada empat pusingan akhir pada musim ini.

Menurutnya, pengurus pasukannya, Pang Yok You telah menyusun jadual latihan yang padat supaya lebih memberi tumpuan dan bekerja keras untuk meningkatkan tahap kecergasan bagi membantu menjadikan tunggangan pelumba bertambah cekap. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan