Debaran Pelumba ARRC Di Autopolis

Diterbitkan: Isnin, 5 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DENGAN persiapan rapi yang dibuat oleh pelumba-pelumba negara, pastinya bakal menyaksikan saingan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun, minggu ini lebih mendebarkan.

Pendahulu Kejuaraan, Katsuaki Fujiwara (Manual-Tech BEET Kawasaki Racing) kekal sebagai pelumba yang perlu ditewaskan dalam kategori SuperSports 600cc. Pelumba Jepun itu yang gagal meneruskan kemenangannya di India (Pusingan 3) lepas pasti mahu bangkit dan meraih kemenangan di gelanggang sendiri.

Walaupun Fujiwara mempunyai kelebihan bersaing di Autopolis, Pengarah Promosi Kejuaraan, Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Ron Hogg percaya bukan mudah bagi pelumba 36 tahun itu untuk menguasai Pusingan 4 memandangkan pasukan besar lain telah melakukan persediaan lebih awal bagi menghadapi perlumbaan kali ini.

“Semua pelumba mahu mencatat kemenangan di Autopolis dan beberapa pasukan telah berada di Jepun untuk menjalani latihan lebih awal.

"Sebagai contoh, Decha turut mengambil bahagian dalam Kejuaraan Seluruh Jepun yang berlangsung di Litar Sugo minggu lepas manakala Zamri terpaksa mengorbankan sambutan Aidil Fitri dengan menjalani latihan seminggu lebih awal di Autopolis.

“Tidak dinafikan Fujiwara mempunyai kelebihan apabila beraksi di litar sendiri dan dia juga sedang mendahului kedudukan keseluruhan ketika ini. Namun begitu saingan pasti lebih sengit setelah melihat kepada kerja keras pasukan-pasukan lain.

“Tambahan pula cabaran lebih sengit dengan penglibatan pelumba-pelumba wildcard yang hadir dengan pelbagai rekod pencapaian peribadi yang terbaik.

"Menggabungkan semua perkara ini, saingan Pusingan 4 pasti bertambah menarik dan saya menjangkakan perebutan di kalangan pelumba hadapan pasti begitu sengit,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kejuaraan ini, Ron berkata, dua musim sebelum ini perlumbaan di sini berlangsung lebih awal namun pada tahun ini kami menganjurkannya pada bulan September.

“Perubahan ini disebabkan oleh pertukaran kalendar perlumbaan Kejuaraan Seluruh Jepun apabila Litar Autopolis menjadi tuan rumah bagi pusingan keenam.

"Ini juga menjadikan kerja-kerja penghantaran lebih mudah kerana selepas Jepun Kejuaraan akan berlangsung di Zhuhai dan kemudiannya Qatar.

“Selain itu, pada pusingan kali ini juga kami turut memperkenalkan model tayar Dunlop yang baru untuk SuperSports 600cc, iaitu Unbeaten 02. Dengan penggunaan tayar baru ini kami jangkakan dapat melihat catatan rekod baru di cipta di Autopolis,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan