Zulfahmi Sedia Hadapi Cabaran Di Litar Brno

Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelumba tunggal MotoGP negara kategori 125cc, Muhammad Zulfahmi Khairuddin diharap mampu mencatat satu lagi kejayaan cemerlang serta memperbaiki kedudukan pada Kejohanan Grand Prix Republik Czech di Litar Brno, hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata pelumba berusia 19 tahun itu telah menunjukkan kematangan dan peningkatan memberangsangkan pada sembilan perlumbaan MotoGP musim ini.

"Saya Muhammad Zulfami mampu mengumpul mata dengan menamatkan saingan dengan menduduki sekurang-kurangnya di tempat ke-15," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran SIC dan AirAsia di sebuah restoran di Kampung Sungai Penchala di sini Isnin.

Sementara itu, Muhammad Zulfahmi, yang akan berlepas ke Republik Czech awal pagi Selasa berkata, beliau akan berusaha memperbaiki pencapaian semasanya seterusnya sekurang-kurang menyamakan pencapaian seperti tahun lalu di tempat ke-15 keseluruhan.

"Tidak mahu bercita-cita terlalu tinggi, saya akan cuba menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 15 penunggang terbaik. Boleh dikatakan Liitar Brno merupakan litar yang mesra bagi saya.

"Baki lapan perlumbaan ini akan saya gunakan sebaiknya untuk perbaiki dari kedudukan ke-18 ke kedudukan seperti tahun lalu," katanya.

Seramai 15 penunggang terbaik setiap pusingan perlumbaan akan memperoleh mata kejohanan dengan juara menerima 25 mata dan naib juara 20 mata serta penunggang di tempat ke-15 akan mendapat satu mata.

Zulfahmi memperoleh 13 mata kejohanan semasa untuk berada di kedudukan ke-18 penunggang dengan memperoleh enam mata di Litar Catalunya (Sepanyol), lima mata di Litar Estoril (GP Portugal) dan dua mata di Assen (Belanda).

Anak kelahiran Banting ini mula berlumba sebagai penunggang 'wildcard' bagi kategori GP125 pada Grand Prix Malaysia 2009, sebelum menjadi penunggang sepenuh musim pada tahun berikutnya dengan menyertai AirAsia-SIC Racing Team.

Musim MotoGP Dunia 2011 mengandungi 18 pusingan di 13 negara dengan Malaysia menjadi tuan rumah pusingan ke-17 di Litar SIC, Sepang, pada 23 Oktober ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan