Lotus Dijangka Tunjuk Peningkatan Ahad - Tony Fernandes

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Pemandu pasukan Lotus yang berpangkalan di Malaysia dijangka menunjukkan peningkatan pada Grand Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang pada Agad, kata peneraju pasukan Datuk Seri Tony Fernandes.

Beliau berkata beliau kagum dengan pemandunya yang mempamerkan pencapaian memberangsangkan pada sesi kelayakan hari ini berbanding dua sesi latihan bebas pada Jumaat.

"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan saya ketika ini. Kedua-dua pemandu Heikki (Kovalainen) dan Jarno (Trulli) tahu banyak lagi yang boleh mereka harapkan dari kereta mereka dan kami teruja dengan perlumbaan hujung minggu ini.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan ini dan saya mengangkat topi kepada setiap seorang daripada mereka kerana meneruskan kemajuan dan membantu kami untuk sampai ke tahap di mana kami berada sekarang," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Kovalainen dari Finland menduduki tangga ke-19 dengan catatan 1:38.645s sementara Trulli di kedudukan ke-20 selepas mencatat 1:38.791s.

"Mereka memberi persembahan yang baik," katanya.

Bagi pasukan Lotus Renault GP pula, masa kelayakan mereka juga sangat berjaya dan kedua-dua pemandu mereka menunjukkan peningkatan.

Nick Hiedfeld dari Jerman dan Vitaly Petrov dari Rusia menyudahi sesi kelayakan dengan menduduki lapan tangga teratas.

"Saya sangat berpuas hati dan saya fikir ia semaksimum yang boleh kami capai berbanding sesi latihan Jumaat lalu di mana kami tidak melakukan banyak pusingan dan tidak mempunyai banyak masa untuk menyediakan kereta kami," kata Heidfeld.

Pada sesi kelayakan hari ini, Heidfeld mencatat masa terpantas keenam dengan 1:36.124s sementara Petrov akan memulakan perlumbaan esok di barisan keempat setelah mencipta masa 1:36.324s hari ini.

Pasukan Mercedes GP Petronas pula menghadapi kesukaran di sesi kelayakan.

"Kami masih bergelut dengan konsistensi kereta dan tidak memberi Nico (Rosberg) dan Michael (Schumacher) peluang untuk menunjukkan apa yang boleh mereka capai.

"Terdapat ketikanya kereta bergerak baik dan laju. Namun banyak perkara yang tidak berfungsi dengan sempurna. Kami tidak mencapi apa yang kami mahu tetapi akan bekerja keras untuk mencapai kedudukan yang lebih baik, kata peneraju pasukan Ross Brown.

Juara dunia tujuh kali Schumacher akan bermula di tempat ketujuh sementara Rosberg di tempat kesembilan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan