Pusingan Ke-5 Janji Cabaran Sengit

Diterbitkan: Isnin, 28 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ramdan berada pada kedudukan terbaik untuk muncul juara kategori CP115 musim ini.
Ramdan berada pada kedudukan terbaik untuk muncul juara kategori CP115 musim ini.

SELEPAS beraksi di kawasan Utara, Selatan dan Tengah, saingan Pusingan 5 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan beralih angin ke Pantai Timur dengan Kuala Terengganu menjadi destinasi terbaru perlumbaan yang bermula dari 9 hingga 10 Julai depan.

Saingan di atas trek Stadium Sultan Mizan Gong Badak sepanjang 932 meter bukan gelanggang asing buat kebanyakan pelumba tanah air memandangkan trek itu pernah menjadi hos sebanyak dua musim sebelum ini.

Secara keseluruhannya, trek Gong Badak mempunyai 6 selekoh kanan dan 2 selekoh kiri berteknikal sekali gus memberi cabaran berbeza dari saingan di Litar Antarabangsa Sepang.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg memberitahu perubahan drastik yang dialami para pelumba selepas beraksi di Pusingan 4 (trek panjang dan lebar) Jun lepas ke Pusingan 5 (trek pendek dan sempit) di Gong Badak ini pastinya menjanjikan saingan sengit.

“Dengan perlumbaan kini memasuki fasa pertengahan musim, cabaran yang dialami para pelumba dilihat cukup sengit. Semua kategori memasuki peringkat paling sukar dengan pelumba harus mengambil peluang mengutip seberapa banyak mata di sini untuk mengekalkan kedudukan mereka bagi buruan mahkota keseluruhan.

“Oleh itu, perubahan dari segi penyelaras jentera berserta skil perlumbaan berbeza menjadi faktor penentu dan dua perkara ini mungkin membantu pelumba mencapai keputusan positif di sini (Kuala Terenganu),” jelas Ron.

Menurutnya, buat masa ini cabaran bagi kategori CP130, CP115 dan Wira masih lagi terbuka dan andai pelumba berjaya menaiki podium di Kuala Terengganu kelak, kedudukan juga berubah.

Untuk rekod, kedudukan lima pelumba teratas bagi semua kategori cukup sengit dan hanya pelumba yang berjaya mengekalkan prestasi konsisten, memiliki peluang cerah mengejar mahkota juara keseluruhan.

Dalam kategori CP130, Ahmad Fazli Sham dari Shell Advance Yamaha Maju masih menerajui kedudukan dengan 76 mata namun Fazli sekadar memiliki kelebihan tipis 7 mata ke atas pencabar di tempat kedua, Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang mengumpul 69 mata selepas mengharungi empat pusingan.

Sementara itu, bagi kategori CP115, pelumba muda berusia 14 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli dari PETRONAS Sprinta Yamaha AHM masih kekal menerajui cabaran untuk menepis cabaran pelumba senior, Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) namun hanya dibezakan hanya 5 mata.

Ramdan mengumpul 81 mata sementara Iskandar di tempat kedua dengan 76 mata. Bagi cabaran kategori Wira, lima pelumba teratas masih berpeluang merapatkan jurang masing-masing apabila mereka dibezakan dengan angka yang cukup tipis.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di 03-8733 8787 atau layari laman web www.malaysiancubprix.com untuk perkembangan lanjut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan